IPOH - Kerajaan Perak mengharapkan pembinaan lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim dan Lumut akan dimasukkan dalam Belanjawan 2026 yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lebuh raya tersebut merupakan antara beberapa permohonan yang telah dikemukakan kerajaan negeri untuk dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, lebuh raya itu penting bagi menyokong pertumbuhan industri automotif di Tanjung Malim.
“Sebab bila saja bermulanya pembuatan kereta EV (kenderaan elektrik) di Tanjung Malim, mereka hendak eksport ikut mana? Pelabuhan Pulau Pinang jauh, Pelabuhan Klang pula sudah sesak.
“Kita mahu merancakkan Pelabuhan Lumut. Jadi kita sangat perlukan lebuh raya ini. Itu satu contoh,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
Saarani berkata, selain itu, beberapa jajaran baharu turut diperlukan bagi memastikan Perak mempunyai jaringan jalan raya yang lebih baik.
Menurutnya, jajaran tersebut termasuklah sambungan antara Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
“Jadi kita harap Kementerian Kewangan akan beri keutamaan itu. Sebab yang penting, bila semua sudah ada, kita perlukan jalan penghubung yang baik,” katanya.
Tahun lalu, Saarani mengesahkan projek lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim dengan Lumut telah didaftarkan di Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan.
Jelasnya, lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada 10 projek yang disenaraikan untuk perhatian Kementerian Kewangan.