'Flare' kedua dipasang, JBPM jamin kebocoran gas butana selamat dikawal

Iklan
Nor Hisham (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu pada Ahad.

HULU TERENGGANU – Alat pembakaran mudah alih (portable flare) kedua akan dipasang di kawasan Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5 bagi memusnahkan sisa gas butana dalam paip yang bocor.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, unit pertama berjaya dipasang kira-kira jam 3.30 pagi pada Ahad bagi memulakan proses pembakaran gas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, unit kedua yang dibawa dari Kulim, Kedah dijangka tiba petang ini sebelum dipasang bagi memastikan keseluruhan gas berbaki dalam paip sepanjang 9.6 kilometer dapat dilupuskan.

“Kita jangkakan proses pembakaran termasuk operasi memasukkan nitrogen (nitrogen purging operation) akan mengambil masa 48 jam untuk menghabiskan sisa gas sebelum kerja pemulihan dapat dijalankan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Kolaborasi Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) bersama JBPM di Hutan Lipur Sekayu, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nor Hisham menegaskan orang awam tidak perlu bimbang kerana kebocoran gas tersebut tidak berisiko menyebabkan letupan.

Iklan

“Hasil penilaian mendapati kandungan gas butana di udara dalam radius 400 meter dari lokasi hanya sekitar satu peratus, iaitu masih selamat.

“Bagaimanapun, kita kekalkan jarak operasi 500 meter bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Sebelum ini, polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan pada Sabtu susulan insiden kebocoran paip gas PGB di tapak pembinaan ECRL Seksyen 5.

Petronas Gas Berhad telah bertindak menutup dua injap utama bagi mengawal kebocoran, selain menjalankan kerja-kerja pengosongan gas yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari.

Kawasan berkenaan turut diisytiharkan sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam oleh pihak polis, manakala orang awam dilarang menghampiri lokasi itu bagi mengelak risiko keselamatan.