Kanak-Kanak Palestin pikul adik lari dari bom jadi simbol derita warga Gaza

Iklan
Wajah ini memperlihatkan bagaimana perang merampas hak kanak-kanak untuk menikmati zaman mereka. Foto Agensi

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih separuh daripada mereka yang dipaksa meninggalkan rumah di Gaza terdiri daripada kanak-kanak.

GAZA – Di tengah-tengah gegaran bom dan bunyi pesawat pejuang Israel, seorang kanak-kanak lelaki Palestin tanpa alas kaki dilihat memikul adik perempuannya di atas bahu sambil berjalan menuju ke selatan Gaza.

Imej menyayat hati itu menjadi simbol penderitaan yang kini menghantui ratusan ribu penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka demi menyelamatkan nyawa.

Iklan
Iklan

Kanak-kanak malang itu dengan wajah penuh debu dan langkah longlai tetap berusaha membawa adiknya yang masih kecil ke tempat yang dianggap lebih selamat.

Adegan itu meruntun jiwa dunia, memperlihatkan bagaimana perang merampas hak kanak-kanak untuk menikmati zaman mereka.

Iklan

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih separuh daripada mereka yang dipaksa meninggalkan rumah di Gaza terdiri daripada kanak-kanak.

Ramai antara mereka kini hidup dalam keadaan serba kekurangan, tanpa makanan mencukupi, bekalan air bersih mahupun rawatan perubatan.

Iklan

“Setiap gambar dan video dari Gaza memaparkan penderitaan tidak terkata. Namun, apabila kita melihat seorang kanak-kanak memikul adiknya demi melarikan diri daripada serangan, ia membuktikan bagaimana perang ini memaksa anak kecil menanggung beban yang sepatutnya tidak pernah mereka lalui,” kata seorang jurucakap agensi kemanusiaan antarabangsa.

Sejak serangan besar-besaran Israel dilancarkan, puluhan ribu nyawa telah terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Banyak kawasan kediaman, sekolah serta hospital musnah, menyebabkan rakyat Gaza terus terperangkap dalam kitaran penderitaan tanpa penghujung.

Gambar kanak-kanak tersebut kini tular di media sosial, sekali gus mencetuskan gelombang simpati dan kecaman terhadap kekejaman yang menimpa penduduk Palestin. – Agensi