Penolong pegawai kebajikan mengaku salah terima suapan RM2,100

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tiga pertuduhan menerima suapan pada April 2023.

KUALA TERENGGANU - Seorang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM2,100 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Maududi Abd Rashid, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM700 daripada Timbalan Pengerusi Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia merangkap Pengarah Syarikat H&F Management Sdn Bhd melalui transaksi ke akaun bank miliknya pada 5 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM700 masing-masing pada 7 Ogos dan 5 September tahun sama melalui transaksi daripada akaun syarikat berkenaan ke akaunnya.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Jerteh, Besut ketika tertuduh masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan ia mempunyai kaitan dengan urusan rasmi pendaftaran sebuah pusat jagaan di daerah berkenaan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Hakim menetapkan 30 September ini sebagai tarikh jatuh hukum dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan pada hari sama.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rabiatul Addawiah Mohd Norlee dan Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.