India bimbang perjanjian pertahanan Pakistan–Saudi jejas hubungan dua hala

Iklan
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berpelukan pada hari mereka menandatangani perjanjian pertahanan. - Foto: Agensi

NEW DELHI – India berharap Arab Saudi mengambil kira kepentingan bersama dan sensitiviti sedia ada dalam hubungan strategik dua hala susulan perjanjian pertahanan yang ditandatangani antara Pakistan dan Riyadh baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar, Randhir Jaiswal pada Jumaat menegaskan bahawa hubungan strategik India-Arab Saudi semakin kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini, justeru New Delhi menjangka kerjasama itu kekal berpaksikan kepentingan bersama.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman pada Rabu menandatangani Perjanjian Pertahanan Bersama Strategik di Riyadh.

Dokumen tersebut menyatakan bahawa sebarang bentuk pencerobohan terhadap salah satu negara akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap kedua-duanya sekali.

Iklan

Perjanjian itu dimeterai hanya beberapa hari selepas Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas pemimpin Hamas di Qatar sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kestabilan serantau.

Dalam reaksi awal, India menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil segala langkah perlu bagi melindungi kepentingan negara serta memastikan keselamatan menyeluruh.

Iklan

“India dan Arab Saudi mempunyai perkongsian strategik yang luas dan ia telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami menjangka perkongsian strategik ini terus mengambil kira kepentingan bersama serta sensitiviti kedua-dua pihak,” kata Jaiswal.

Perjanjian pertahanan itu dimeterai ketika beberapa negara Arab mula meragui kebolehpercayaan Amerika Syarikat sebagai rakan keselamatan khususnya selepas siri serangan Israel ke atas Iran dan Qatar.

Penganalisis berpandangan bahawa langkah tersebut boleh memberi implikasi besar kepada New Delhi sekiranya Pakistan cuba menggunakannya ketika berdepan ketegangan dengan India.

Arab Saudi sudah lama menjalin hubungan pertahanan dengan Pakistan, malah sering membantu Islamabad menangani krisis ekonomi menerusi bantuan kewangan.

Pada masa sama, kerjasama strategik Riyadh-New Delhi juga semakin berkembang sejak sedekad lalu, termasuk melalui latihan ketenteraan darat dan laut secara bersama.

Pegawai India memaklumkan bahawa New Delhi sedar Pakistan dan Arab Saudi telah lama menimbang untuk memeterai pakatan seumpama itu. Namun, keadaan semasa dipercayai mempercepatkan pelaksanaannya.

Setakat ini, teks penuh perjanjian tersebut belum didedahkan. Rujukan mengenai pertahanan bersama hanya dinyatakan menerusi kenyataan bersama, justeru tanggungjawab undang-undang berhubung pertahanan kolektif masih perlu diperincikan.

Mengulas kemungkinan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar menyertai pakatan itu, Jaiswal berkata bahawa India turut mempunyai hubungan yang luas dengan kedua-dua negara berkenaan.

Beliau menambah Perdana Menteri, Narendra Modi baru-baru ini mengadakan perbualan telefon dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, manakala Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar UAE, Reem Al Hashimy, turut berkunjung ke New Delhi untuk mengadakan rundingan dengan Setiausaha Luar, Vikram Misri.

“Hubungan India dengan UAE dan Qatar adalah menyeluruh, dan perbincangan sebegini terus berlangsung dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, pada Khamis menegaskan bahawa “pintu tidak ditutup” untuk negara Arab lain menyertai perjanjian pertahanan bersama itu. - Agensi