KOTA BHARU – Mudir sebuah pondok pengajian agama di Kelantan yang dikenali sebagai Abuya akan berdepan enam lagi pertuduhan berkaitan kes jenayah seksual terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek yang berusia 46 tahun itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen selepas proses siasatan dan arahan pendakwaan selesai.
“Setakat ini, dia sudah dituduh dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas minggu lalu membabitkan kes amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki dan pemilikan bahan lucah.
“Selain itu, dia turut berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin lalu atas kesalahan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.
Menurutnya, suspek kini dibebaskan dengan jaminan RM45,000 bagi tujuh pertuduhan di Kelantan dan RM18,000 untuk dua pertuduhan di Terengganu.
“Terbaharu, polis menahan semula suspek selepas menerima aduan baharu daripada mangsa lain berusia belasan tahun di lokasi yang sama.
“Dalam masa terdekat, enam lagi pertuduhan akan dibuat selepas ini,” kata Mohd Yusoff.
Tambah beliau, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Difahamkan, suspek yang digelar Abuya itu dikatakan mempunyai pengaruh dalam kalangan pengasas perniagaan di negeri ini dan mempunyai pengikut di media sosial.