Contohi Australia, China pacu inisiatif bandar pintar

Iklan
Anuar Fariz (dua dari kiri) ketika sesi dialog 'AI Cities For The People' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.

MALAYSIA mesti menjadikan Australia dan China sebagai negara contoh terbaik dalam aspek pembangunan bandar pintar atau ‘smart city’ berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, kedua-dua negara mempamerkan pendekatan luar biasa pantas dalam mendepani arus pemodenan dan teknologi sekali gus memberi kesan kepada peningkatan taraf hidup penduduknya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kaedah yang digunapakai Australia dan China perlu dipraktikkan di Malaysia dalam usaha membangunkan bandar raya AI menjelang 2030.

“Kedua-dua negara berkembang dengan adaptasi teknologi. Kepantasannya cukup mengagumkan. Jadi, ini yang perlu kita (Malaysia) pelajari dari Australia dan China.

Iklan

“Contohnya, baru-baru ini saya ke China dan saya lihat negara tersebut sudah menggunakan pemanduan autonomous, ia sangat hebat. Ini bukan tentang teknologi semata-mata, tetapi jenis jalan, fiber dan infrastruktur juga perlu diambil kira.

“Untuk pembangunan smart city di Malaysia, kita ada kerangka hasil perbincangan di peringkat kementerian antaranya adaptasi teknologi AI dan pengurusan bandar urban AI,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog AI Cities For The People yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Jumaat.

Hadir sama, panelis dari Universiti New South Wales (UNSW) Australia, Dr Sunil Dubey dan Presiden Shanghai Smart City, Profesor Sheng Xuefeng serta moderator, Datuk Dan E Khoo.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bersama delegasi ASEAN turut hadir bagi meluncurkan ‘The Smart City Expo Kuala Lumpur 2025’ (SCEKL25), inisiatif yang membawa Malaysia ke arah pembangunan bandar raya AI menjelang 2030.

Mengangkat tema AI Cities: Shaping Our Digital Future, SCEKL25 berlangsung dari 17 hingga 19 September lalu.

Anuar Fariz menambah, menerusi kerjasama pemimpin global dan rakan kongsi strategik tempatan, pihaknya optimis dengan kejayaan mengintegrasikan AI dalam kelestarian bandar, daya tahan iklim, perkhidmatan digital rakyat serta kemahiran masa depan.

“Kerjasama ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja mengguna pakai teknologi, malah membentuknya secara bertanggungjawab untuk meningkatkan taraf kehidupan dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab digital ASEAN,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika perasmian penutupan SCEKL25 berpandangan, visi transformasi pembangunan urban bandar raya AI mesti selari dengan elemen kelestarian dan kemampanan, kebersihan, maju serta selamat.

“Kita mesti memanfaatkan potensi dan strategi penggunaan AI dalam menginovasikan bandar-bandar di seluruh negara sekali gus berkongsi pengalaman kepada negara anggota ASEAN yang lain,” kata beliau.