POLITIK Malaysia pada minggu lalu diwarnai oleh isu calon perdana menteri dari gabungan parti pembangkang.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri untuk ditonjolkan pada pilihanraya umum yang akan datang.
Sementara itu, Pas yang juga rakan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menamakan beberapa pihak iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Namun kedua-dua tokoh penting dalam Pas itu menolak untuk menjadi calon perdana menteri.
Tuan Ibrahim kemudian meminta supaya perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat PN untuk dimuktamadkan secara bersama.
Polemik itu kemudian mendapat perhatian Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai pengalaman sebagai perdana menteri sebanyak dua kali dan paling lama dalam sejarah negara.
Beliau menegur tentang perebutan tersebut dan menasihatkan parti politik terbabit supaya menang dahulu pilihan raya.
Sebenarnya strategi menamakan lebih awal calon perdana menteri ini ada baik dan buruknya juga.
Jika calon itu ada kredibiliti yang kuat, ia akan memberikan kelebihan kepada parti yang bertanding, tetapi jika ia juga boleh jadi sebaliknya.
Namun dalam sejarah negara ada beberapa perdana menteri yang dilantik tidak mengikut saluran pilihan raya, yang pertama ialah Tun Hussein Onn menggantikan Tun Abdul Razak yang meninggal dunia ketika memegang jawatan pada tahun 1976.
Sebelum itu beliau merupakan timbalan perdana menteri dan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Kedua ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003.
Ketiga ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang naik selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan akibat Langkah Sheraton pada tahun 2020.
Beliau dilantik kerana diyakini mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, tanpa pilihan raya baharu.
Keempat ialah Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang menggantikan Muhyiddin selepas kehilangan sokongan majoriti pada 2021.
Ismail Sabri juga dilantik melalui perkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sokongan ahli Parlimen.
Bagaimanapun bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelantikan beliau juga boleh dikatakan unik untuk politik negara kerana beliau mendapat mandat melalui pembentukan gabungan dan sokongan majoriti ahli Parlimen, bukan kerana satu parti menang mutlak.
Jadi sejarah pelantikan seorang perdana menteri di Malaysia mengikut Perlembagaan negara.
Cuma kalau tidak dijaga dengan baik, dibimbangi boleh berlaku cara pemilihan yang tidak masuk dek akal.
Ini sudah pun berlaku di Nepal, apabila anak muda di negara itu menggunakan teknologi Discord untuk menentukan calon perdana menteri interim.
Albania pula memperkenalkan secara rasmi seorang menteri digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada pentadbirannya, dengan tujuan memperkemas proses pentadbiran dan memerangi rasuah.
Diberi nama Diella, entiti maya itu diamanahkan dengan tugas besar iaitu untuk membanteras rasuah dan memastikan semua proses tender awam dijalankan secara telus.
Lebih gila, Parti Path to Rebirth iaitu sebuah parti politik baharu Jepun mengumumkan akan melantik AI sebagai ketua selepas pengasasnya meletak jawatan susulan prestasi teruk parti itu dalam pilihan raya baru-baru ini.
Menurut pembantu kepada ketua baharu AI itu, Koki Okumura, berusia 25 tahun yang juga seorang pelajar kedoktoran dalam bidang penyelidikan AI, butiran mengenai ketua parti itu masih belum diputuskan, termasuk bila dan bagaimana ia akan dilaksanakan.
Menurut Okumura, AI tersebut tidak akan menentukan aktiviti politik ahli parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada keputusan seperti pengagihan sumber parti dalam kalangan mereka.
Jadi pengajaran penting ialah pemimpin kena buatlah yang terbaik atau mereka juga akan diganti dengan AI.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian