KBS tegaskan agihan Geran Padanan Sukan telus, adil

Iklan
Nagulendran

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen penuh terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam agihan Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM30 juta, bagi memastikan pembangunan sukan negara dilaksanakan secara mampan.

Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Datuk Dr K Nagulendran berkata, setiap permohonan tertakluk kepada kriteria dan garis masa yang telah dimaklumkan lebih awal kepada semua pihak berkepentingan.

Iklan
Iklan

“Permohonan bagi ACE Malaysia Squash Cup yang dijadualkan November ini tidak diluluskan kerana acara berkenaan berada di luar tempoh masa kelayakan Geran Padanan Sukan 2025.

“Tarikh akhir acara yang layak ialah 31 Oktober 2025, selaras dengan keperluan perakaunan tahunan kerajaan.

Iklan

“Kerangka ini termasuk garis masa telah diumumkan sejak Disember 2024 melalui sidang media, portal rasmi KBS dan 12 sesi taklimat.

“Maka ia perlu dilaksanakan secara konsisten terhadap semua pemohon bagi memastikan penggunaan dana awam berakauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Nagulendran menegaskan, Geran Padanan Sukan 2025 diperhalusi berdasarkan arahan Kementerian Kewangan, dengan penetapan bahawa hanya badan sukan berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Pertubuhan Belia (ROY) layak memohon secara langsung.

“Syarikat swasta masih penting sebagai rakan strategik, tetapi mereka tidak lagi boleh menjadi pemohon utama. Ini bagi memastikan proses agihan kekal telus dan menepati garis panduan,” ujarnya.

Beliau turut memberi contoh Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) yang berjaya menerima peruntukan RM390,000 bagi penganjuran Malaysia Cup 2025 pada Ogos lalu, membuktikan geran tersebut boleh diakses mana-mana organisasi yang mematuhi prosedur.

Sejak 2023, sebanyak RM1.3 juta telah disalurkan untuk pembangunan sukan skuasy melalui Geran Padanan Sukan, menunjukkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pertumbuhan sukan berprestasi tinggi itu.

Selari dengan aspirasi Kerajaan Madani, katanya, KBS kekal menekankan tadbir urus terbaik dalam setiap agihan geran, di samping menggalakkan badan sukan membina model kewangan lebih mampan tanpa hanya bergantung pada dana kerajaan.

“Ini penting untuk menjamin kelestarian acara sukan di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.