ARSENAL menghampiri gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama sejak 2003, dengan dua keputusan positif pada hujung minggu ini mampu mengukuhkan kelebihan mereka di carta liga.
Pasukan kendalian Mikel Arteta kini memimpin liga dengan kelebihan enam mata.
Sekiranya The Gunners menewaskan Sunderland di laman sendiri malam ini, jurang itu akan meningkat kepada sembilan mata sebelum Manchester City bertandang ke Anfield menentang Liverpool 24 jam kemudian.
Liverpool menjadi kubu sukar buat City sejak sedekad lalu, dengan Guardiola hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 lawatan ke stadium itu.
Pemain City, Tijjani Reijnders mengakui kepentingan pertemuan itu.
“Ya, kami perlu menang dan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan lagi,” katanya.
Keputusan di Anfield tidak akan menentukan gelaran liga secara langsung.
Namun, jika City tewas sekali lagi, Arsenal boleh meletakkan satu tangan di atas trofi sekiranya mereka menang di Emirates.
Musim ini, Arsenal dan City masih bersaing dalam empat kejohanan termasuk bertemu dalam final Piala Liga pada 22 Mac di Wembley.
Sejak mengambil alih Arsenal pada 2019, Arteta hanya memenangi satu Piala FA, manakala Guardiola sudah mengumpul 16 trofi termasuk treble bersejarah pada 2023.
Sekiranya City gagal kekal konsisten dalam baki liga, peluang mereka menjuarai EPL semakin tipis.