Tiga lelaki cuba lolos dikejar lima kereta peronda polis

Iklan
Cubaan tiga lelaki meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila mereka diberkas.

KLANG – Cubaan tiga lelaki meloloskan diri daripada pemeriksaan polis gagal apabila mereka diberkas di Bandar Sentosa di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian pada jam 11.15 malam itu, anggota polis yang menjalankan rondaan mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja warna hitam dalam keadaan mencurigakan di kawasan bulatan Jalan Kebun.

Iklan
Iklan

"Anggota polis memberi arahan supaya kenderaan itu berhenti, namun pemandunya bertindak memecut laju, memaksa polis mengejar dengan bantuan lima kereta peronda lain.

“Kereta suspek akhirnya berjaya dipintas di Lorong Dato Yusuf Shahbudin 44F/KS7, Bandar Sentosa dan menahan ketiga-tiga lelaki yang menaiki kenderaan itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ramli berkata, pemeriksaan menemui sebilah parang panjang dan sepasang sarung tangan yang dirampas untuk membantu siasatan.

"Kesemua lelaki tempatan berusia 31 hingga 43 tahun memiliki rekod jenayah lampau, termasuk pemandu kereta yang mempunyai 23 rekod jenayah serta 11 rekod berkaitan dadah," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.