'Dengar dahan patah, anak menjerit ketakutan' - Anggota polis pilu isteri maut dihempap pokok

Iklan
Saidi menunjukkan isterinya yang maut dalam kejadian tersebut pada Jumaat.

BENTONG - Seorang anggota polis terdengar bunyi dahan patah sebelum pokok dari seberang sungai tumbang menghempap khemah mereka di tapak perkhemahan Pulau Santap dekat Janda Baik di sini sekali gus meragut nyawa isterinya pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Herini Mohammad Ali, 38, yang berasal dari Banting, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Suasana di pekarangan Unit Forensik Hospital Bentong.

Koperal Saidi Long, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya, Herini dan anaknya, Muhammad Iman Syahfie, 7, sedang tidur.

Iklan

"Khemah kami terletak di hujung sekali. Sebelum kejadian cuaca dalam keadaan baik tanpa hujan, angin atau ribut.

“Saya dengar bunyi dahan patah, tidak sangka kena khemah kami. Sekelip mata saja berlaku, anak saya menjerit ketakutan. Saya cuba kejutkan isteri, tapi dia tidak respon,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Bentong di sini pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, dalam keadaan kelam-kabut, rakan-rakan perkhemahan lain segera menolong memotong dahan sebelum mengeluarkan mereka.

“Mereka tarik keluar anak saya dulu, kemudian saya. Saya pun tidak berdaya kerana bahu patah dan tulang rusuk retak.

"Sebelum ditarik keluar saya sempat menarik kaki isteri tapi tetap tiada respon. Masa itu saya ingat dia masih tidur tapi tidak sangka dia sudah tiada,” jelasnya.

Dalam kejadian itu, Saidi mengalami kecederaan patah bahu dan rusuk kiri manakala Muhammad Iman cedera ringan di bahagian kaki.

Katanya, mereka sekeluarga sepatutnya pulang pada Khamis namun menangguhkan hingga ke tengah hari Jumaat selepas berada di tapak itu sejak Isnin.

"Kami pertama kali datang berkhemah di sini dengan dua keluarga lain dan aktiviti ini pun atas saranan doktor kerana isteri memerlukan rehat dan menikmati alam semula jadi kerana masalah hormon tiroid yang dihidapinya.

"Keadaan cuaca elok sejak semalam (Khamis) tanpa hujan, angin atau ribut dan pagi tadi pun baik," katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Jelasnya, Allahyarham Herini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap sepanjang tempoh perkhemahan dan ceria seperti biasa.

Tambahnya, jenazah isterinya akan dibawa pulang ke Kampung Olak Lempit, Banting untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung terbabit.