Exco sangkal dakwaan kehadiran pelancong merosot di Langkawi

Iklan
Dakwaan kononnya jumlah pelancong ke Pulau Langkawi merosot sehingga 39 peratus semasa cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah baru-baru ini disangkal.

Dakwaan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan maklumat lapangan serta data rasmi - Exco Pelancongan Kedah

LANGKAWI – Dakwaan kononnya jumlah pelancong ke Pulau Langkawi merosot sehingga 39 peratus semasa cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah baru-baru ini disangkal oleh Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah, Datuk Salleh Saidin.

Jelasnya, dakwaan tersebut disifatkan sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan maklumat lapangan serta data rasmi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sejak bermulanya cuti persekolahan pada 11 dan 12 September lalu, aliran kemasukan pelancong ke Langkawi menunjukkan peningkatan ketara berdasarkan maklum balas daripada pengusaha pelancongan, penginapan dan perkhidmatan kereta sewa.

“Konsortium Ferry Line Ventures turut memaklumkan bahawa lebih 100,000 pelancong dari dalam dan luar negara telah memasuki Langkawi sepanjang tempoh tersebut. Malah, mereka terpaksa menambah 118 trip feri bagi menampung permintaan tinggi,” katanya pada Jumaat.

Iklan

Salleh berkata demikian mengulas laporan awal oleh media massa mengenai kemerosotan pelancong ke Langkawi 30 sehingga 39 peratus.

Tambah beliau, data rasmi daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) turut menyokong gambaran positif itu apabila Langkawi mencatatkan 2,018,153 ketibaan pelancong sehingga Ogos 2025, meningkat 2.64 peratus berbanding 1,964,814 dalam tempoh sama tahun lalu.

Iklan

“Bagi tempoh 1 hingga 16 September, ketibaan melalui Terminal Feri Kuah meningkat 22.43 peratus, Pelabuhan Langkawi melonjak 27.86 peratus, penerbangan domestik naik 10 peratus dan penerbangan antarabangsa pula meningkat 23 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) mula menampakkan hasil, bukan sahaja di Langkawi malah di Tanah Besar Kedah.

Menurutnya, destinasi pelancongan utama di negeri ini terus menjadi tumpuan meskipun cuaca tidak menentu.

“Semua ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, LADA, jabatan dan agensi kerajaan serta pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Saya menyeru agar kerjasama ini terus dikekalkan dan diperkukuh. Dengan sokongan rakyat Kedah yang terkenal dengan kehalusan budi dan kemesraan dalam menyambut tetamu, sektor pelancongan negeri bukan sahaja mampu menyumbang kepada ekonomi, malah membina imej Kedah di persada dunia,” tambah beliau.