Anak mengaku curi makanan, kosmetik demi ibu nyanyuk

Iklan
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua hari bermula tarikh tangkap 17 September lalu serta denda sebanyak RM1,000. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencuri 27 jenis barang antaranya makanan dan kosmetik bernilai RM369.16 demi kelangsungan hidup ibunya yang menghidap nyanyuk.

Ketika disoal Majistret S Arunjothy, tertuduh, Uma Santhi Pakry @ Selvaraj, 43, berkata, barang-barang tersebut hanya untuk keperluan memasak.

Iklan
Iklan

Majistret: Kalau alasan nak masak, ambil satu atau dua barang itu hal lain, tapi ini sampai 27 barang sekali gus, apa alasan kamu?

Uma Santhi: Semua itu termasuk keperluan saya dan emak selama sebulan, sebab saya jarang keluar rumah.

Iklan

Majistret: Kamu tahu peruntukan seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun?

Uma Santhi: Saya tahu perbuatan itu salah, saya minta maaf.

Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri 27 jenis barang dengan anggaran kerugian RM369.16 di sebuah pasar raya di Taman Maluri pada jam 1.01 petang, 17 September lalu.

Barang tersebut termasuk makanan dengan nilai termurah iaitu ‘Cheest Chiky Ball’ (RM3.80) dan kosmetik termahal, ‘Garnier Sakura Glow’ (RM37.90).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mohammad Arifin Abdul Wahab merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.

“Dia mengaku mengambil barang-barang itu untuk keperluan masakan harian bersama emaknya.

“Dia juga menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Arunjothy menjatuhi hukuman penjara dua hari bermula tarikh tangkap, 17 September lalu serta denda sebanyak RM1,000.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tujuh hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.