Penduduk lari selamatkan diri selepas gempa 6.6 magnitud landa Papua Tengah

Iklan
Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud menggegarkan daerah Nabire di wilayah Papua Tengah. Foto BMKG

JAKARTA - Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud menggegarkan daerah Nabire di wilayah Papua Tengah awal pagi Jumaat, menyebabkan penduduk bergegas keluar meninggalkan rumah masing-masing.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB), Abdul Muhari berkata, gegaran yang berlaku selama dua hingga tiga saat itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Iklan
Iklan

"Beberapa rumah rosak, kaca di kemudahan lapangan terbang pecah, siling di pejabat kerajaan runtuh, sebuah jambatan musnah, manakala bekalan elektrik dan telekomunikasi turut terganggu,” katanya dalam kenyataan.

Anggota Pasukan Tindakan Pantas daripada Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Nabire masih berada di lokasi untuk menilai sepenuhnya kesan bencana itu.

Iklan

BNPB menggesa penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan berlaku gegaran susulan serta memastikan rumah selamat sebelum kembali mendudukinya, di samping mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan khabar angin di media sosial.

Data daripada Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) menunjukkan gempa berlaku pada 1.19 pagi waktu Indonesia Barat, dengan pusat gempa terletak 29 kilometer barat laut Nabire pada kedalaman 24 kilometer.

Iklan

BMKG menegaskan gempa itu tidak membawa ancaman tsunami. - Bernama