Insiden Kampung Sungai Baru: Kertas siasatan dirujuk semula kepada TPR

Iklan
Mohamed Usuf

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung insiden kekecohan yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Kampung Sungai Baru baru-baru ini telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata, kertas siasatan berkenaan bagaimanapun dikembalikan dengan beberapa arahan lanjut dan telah dirujuk semula pada Jumaat bersama cadangan pertuduhan terhadap semua suspek yang ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai lapan lelaki tempatan telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

"Setakat ini, seramai 67 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Iklan

"Mereka terdiri daripada 52 saksi polis termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, tiga pegawai mahkamah, dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dua pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang peguam, seorang wakil penduduk, seorang pengarah syarikat, empat orang awam serta seorang wanita yang juga penjaga kepada salah seorang tangkapan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada 11 September lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala ketika melaksanakan pemantauan operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru.

Iklan

Pegawai kanan itu kemudian dikejarkan ke HKL untuk rawatan lanjut.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru mencetuskan kontroversi apabila sebahagian penduduk, khususnya penghuni rumah teres menolak kadar pampasan RM400 bagi setiap kaki persegi seperti yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu bermula sejak 2016 dan membabitkan keseluruhan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri.