Johor bakal jadi hab utama pengeluaran susu segar negara

Iklan
Zahari (tengah) melawat Kompleks Jemaluang Dairy Valley (JDV) di Mersing.

JOHOR BAHRU – Johor bakal muncul sebagai antara negeri peneraju utama industri tenusu negara apabila Kompleks Jemaluang Dairy Valley (JDV) di Mersing dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, sebanyak 1,000 ekor lembu tenusu akan dibawa masuk dari Australia secara berperingkat bermula Oktober ini sebagai persediaan fasa awal operasi.

Iklan
Iklan

"Apabila beroperasi sepenuhnya, JDV mampu menghasilkan lima juta liter susu segar setahun, iaitu peningkatan sekitar 10 peratus kepada pengeluaran susu negara.

"Menerusi pengoperasian projek strategik itu, Johor dijangka mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran susu segar negeri daripada 6.4 juta liter kepada sembilan juta liter setahun.

Iklan

"Secara keseluruhan, jumlah pengeluaran di peringkat nasional dijangka melonjak kepada antara 13 hingga 15 juta liter menjelang 2027," katanya selepas melawat JDV di Mersing pada Khamis.

Menurut Zahari, selain meningkatkan kapasiti negeri, JDV turut berfungsi sebagai pusat pengumpulan susu segar daripada penternak sedia ada di kawasan sekitar.

Iklan

"Projek berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai penyumbang utama kepada sekuriti makanan negara, khususnya dalam industri tenusu.

"JDV merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

"JDV akan diuruskan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. (JDVSB), hasil usaha sama antara Kulim (Malaysia) Berhad (KULIM) dan A2 Fresh Holdings Sdn. Bhd. (A2FHSB), dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)," ujarnya.