MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah bot pancung yang membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Tanjung Kling di sini pada Rabu.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, maklumat awal mengenai bot mencurigakan itu diperoleh daripada Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru hasil laporan Sistem Trafik Perkapalan (VTS) Klang yang diterima daripada kapal dagang Viking Emerald.
"Susulan itu, sebuah bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Patkor Optima digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan sebuah bot pancung biru dalam keadaan hanyut kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling pada 9.25 malam.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa 20 penumpang termasuk seorang tekong dan awak-awak, selain 13 lelaki termasuk dua kanak-kanak dan lima wanita dipercayai warga Indonesia berusia antara sembilan hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati bot berkenaan dipercayai menuju ke perairan Pulau Besar untuk memindahkan PATI ke bot tempatan sebelum mengalami kerosakan enjin.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sebahagian besar PATI yang ditahan menggunakan khidmat sindiket penyeludupan menerusi iklan media sosial dengan membayar sejumlah wang untuk perjalanan berbahaya itu.
"Maritim memandang serius cubaan pendatang asing masuk melalui perairan negara kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi turut membahayakan nyawa mereka apabila menggunakan bot uzur, sesak dan tidak dilengkapi ciri keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, bot pancung bersama kesemua penumpang ditunda ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyeludupan atau kemasukan pendatang asing tanpa izin boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha membanteras jenayah rentas sempadan di laut. - Bernama