IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memulakan pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) yang bakal menjadi mercu tanda baharu di Bandar raya Ipoh dengan mengetengahkan identiti seni bina Melayu.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, projek bernilai RM74.6 juta itu akan menampilkan reka bentuk berkonsepkan seni bina Nusantara Melayu berinspirasikan rumah tradisional Perak iaitu Rumah Kutai.
Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MAIPk memberi nafas baharu dan menyuntik roh dalam hasrat memartabatkan seni bina warisan Melayu yang kian terpinggir dalam arus pembangunan moden.
“Pembangunan ini bukan sahaja menitikberatkan fungsi serta kemudahan moden malah turut mengangkat estetika seni warisan sebagai teras utama. Ia selaras dengan usaha memartabatkan seni bina Melayu yang semakin terpinggir dalam arus pembangunan moden.
"Pembangunan KPPK akan menjadi penanda aras baharu dalam pendekatan pembangunan yang menggabungkan tradisi dengan modenisasi, memenuhi agenda memulihara budaya dan warisan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Doa Selamat Mula Kerja Pembinaan KPPK MAIPk di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh sambil disaksikan anggota majlis, pegawai kanan kerajaan, wakil komuniti serta rakan strategik pembangunan.
Mohd Annuar berkata, antara ciri utama kompleks berkenaan ialah bumbung lima, ukiran kayu halus pada tiang, siling dan tingkap, tingkap dengan peneduh suria, penggunaan bahan binaan tradisional serta tona warna berinspirasikan alam semula jadi.
Jelasnya, apabila siap kelak, KPPK tersergam sebagai sebuah bangunan setinggi enam tingkat serta dilengkapi dua tingkat bawah tanah dengan kapasiti 314 lot parkir kereta dan 70 lot motosikal.
Selain ruang pejabat dan lantai komersial, kompleks berkenaan turut menempatkan satu lantai khas untuk Galeri Warisan bagi tujuan pendidikan dan pemeliharaan budaya.
Mohd Annuar berkata, KPPK bukan sekadar pusat urusan pentadbiran tetapi juga dirancang sebagai lokasi tarikan pelancong serta rujukan sejarah untuk generasi akan datang.
Katanya, konsep dan reka bentuk kompleks diterajui oleh GDP Arkitek selaku perunding utama projek dengan pembinaan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan sehingga April 2028.