KENYATAAN Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu berhubung ‘sesiapa yang memiliki telefon bimbit pada dasarnya membawa Israel dalam genggaman tangan mereka’ mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Pemimpin tersebut berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan kepada delegasi Kongres Amerika Syarikat (AS) yang berkunjung ke Baitulmaqdis Barat.
Netanyahu turut memuji keupayaan Tel Aviv dalam menghasilkan peranti tersebut, ubat-ubatan, senjata dan makanan hingga mengundang pelbagai reaksi kurang senang banyak pihak.
Kenyataan angkuh itu seolah-olah mahu menunjukkan dominasi Israel dalam ekosistem teknologi global, sekali gus mengangkat imej negara itu sebagai pencipta dan pemilik inovasi yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan moden pada hari ini.
Namun, di sebalik pujian tersebut tersirat kebimbangan yang besar. Hakikat bahawa hampir setiap telefon pintar moden mengandungi unsur teknologi yang berasal daripada Israel menimbulkan persoalan mengenai tahap kawalan negara itu terhadap data peribadi pengguna di seluruh dunia.
Dalam konteks keselamatan digital, kenyataan Netanyahu boleh ditafsirkan sebagai peringatan betapa pengaruh teknologi Israel mampu menjadikan telefon bimbit sebagai ‘mata-mata’ yang memantau aktiviti harian masyarakat global.
Pakar teknologi, Dr Mohd Azlishah Othman turut mengulas berhubung kenyataan pemimpin ‘ekstremis’ tersebut, menjelaskan bahawa kenyataan tersebut bukan bermaksud pemilikan literal.
Ujar beliau, ia sebaliknya lebih kepada simbolik bahawa pelbagai inovasi dan ciptaan dari Israel sudah tertanam dalam teknologi yang digunakan setiap hari.
Namun begitu, penjelasan tersebut tidak menafikan wujudnya risiko besar terhadap keselamatan maklumat peribadi dan kebebasan digital masyarakat dunia.
Kemajuan pesat Israel dari aspek keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan aplikasi mudah alih memberikan mereka kelebihan strategik untuk menguasai aliran data global.
Jika teknologi ini dieksploitasi bagi tujuan pengintipan, tidak mustahil ia boleh menjejaskan privasi jutaan pengguna serta membuka ruang manipulasi terhadap maklumat sensitif milik kerajaan, syarikat, mahupun individu.
Dalam konteks ini, kenyataan Netanyahu boleh ditafsirkan bukan sahaja sebagai bentuk keangkuhan politik, tetapi juga satu isyarat tentang bagaimana teknologi boleh berfungsi sebagai instrumen kuasa baharu dalam hubungan antarabangsa.
Oleh itu, masyarakat antarabangsa perlu lebih kritis terhadap isu berkenaan. Kesedaran mengenai keselamatan digital mesti ditingkatkan, di samping usaha daripada kerajaan dalam memperkukuhkan undang-undang dan melindungi infrastruktur data pengguna.