Bapa sentiasa cakna nasib rakyat - Anak Allahyarham Raja Ideris

Iklan
Balu kepada Allahyarham Raja Ideris, Datin Raja Nor Azmin Raja Hussain, 81, menyiram air di pusara suaminya selepas dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Allahyarham Datuk Raja Ideris Raja Ahmad merupakan seorang pemimpin yang sentiasa memikirkan nasib rakyat, meskipun ketika kesihatannya kian merosot dan jarang tampil di khalayak.

Anak keduanya, Raja Azlan berkata, sifat cakna serta komitmen Allahyarham dalam berkhidmat kepada masyarakat sudah sebati hasil pengalaman luas dalam dunia politik tanah air.

Iklan
Iklan

"Ahli keluarga, jiran tetangga, rakan politik atau sesiapa sahaja yang mengenali bapa saya sudah pasti mengetahui yang beliau kuat bekerja untuk rakyat meskipun tidak cukup rehat.

"Tolak tepi soal parti, saya berpendapat generasi baharu boleh mencontohi sikap Allahyarham yang sentiasa mencari jalan dan tidak pernah rehat bagi membela nasib rakyat," katanya kepada Bernama di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5, di sini pada Rabu.

Iklan

Raja Azlan berkata, Allahyarham sempat menerima kunjungan kaum kerabat dan rakan-rakan ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar KPJ Selangor bulan lepas dan rata-rata mereka menghargai jasa bapanya ketika aktif berpolitik.

Ahli keluarga serta orang ramai mengusung jenazah Allahyarham Raja Ideris, selepas disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebelum dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada Rabu. Foto Bernama

Iklan

Allahyarham Raja Ideris yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak (1990-2008) dan Sungai Air Tawar (2008-2013) menghembuskan nafas terakhir pada usia 81 tahun di kediamannya di Seksyen 7 di sini, akibat sakit tua pagi Rabu.

Allahyarham juga pernah menyandang jawatan exco kepada dua Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo dengan memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Perikanan, serta Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Asli dan Pembangunan Usahawan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Raja Ideris selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam pada 5.40 petang selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Aziz Shah yang disertai kira-kira 400 jemaah. - Bernama