Tiga lelaki didakwa terlibat urus niaga 1.24 juta liter diesel subsidi secara haram

Iklan
OKS didakwa terlibat dalam urus niaga minyak diesel bersubsidi nelayan di sekitar Bagan Sekinchan pada 2024. Gambar hiasan

KUALA SELANGOR – Seramai tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan terlibat dalam urus niaga diesel bersubsidi tanpa mematuhi undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan jumlah 1.24 juta liter pada tahun lalu.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka selaku orang kena saman (OKS) didakwa terlibat dalam urus niaga minyak diesel bersubsidi nelayan di sekitar Bagan Sekinchan pada 2024, iaitu tanpa mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.

Selain itu, dua daripada mereka didakwa atas pertuduhan menjalankan urus niaga tanpa lesen borong membabitkan barang kawalan berjadual iaitu diesel.

Iklan

Mereka didakwa melanggar Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) dan (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada masa sama, seorang lagi OKS didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah berhubung urus niaga runcit atau borong tanpa lesen.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) serta (2) akta tersebut, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin berjumlah RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim.

Dalam prosiding sama, seorang lagi OKS gagal hadir dalam sebutan status serahan saman.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiatkan penguatkuasaan sehingga pelaku yang terlibat dalam aktiviti jenayah perdagangan didakwa di mahkamah sekiranya terbukti bersalah.

Katanya, perlindungan terhadap penggunaan subsidi negara merupakan kepentingan awam yang diselia secara rapi.

Sebelum ini, KPDN Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah melakukan serbuan ke atas aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis tidak berdaftar sekitar Bagan Sekinchan.

Serbuan dibuat hasil laporan awal melibatkan stor haram yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan.