PDRM tunggu maklumat Myanmar berhubung sindiket dadah antarabangsa

Iklan
Mohd Khalid

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklumat daripada pihak antinarkotik Myanmar susulan sindiket dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berskala besar ke Malaysia yang berjaya ditumpaskan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa antinarkotik Myanmar berhubung perkara tersebut.

Iklan
Iklan

“Ia masih dalam proses siasatan dan kita sedang bekerjasama dengan pihak antinarkotik Myanmar.

“Kita masih menunggu beberapa maklumat daripada pihak sana (Myanmar),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Rabu.

Iklan

Ahad lalu, media melaporkan polis sedang menyiasat kemungkinan wujud pembabitan sindiket tempatan dalam rangkaian dadah antarabangsa dari Myanmar susulan rampasan besar-besaran di negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan adanya kerjasama kumpulan pengedaran dalam negara dengan rangkaian antarabangsa berkenaan.

Iklan

Minggu lalu, portal berita Myanmar melaporkan pasukan antinarkotik negara itu berjaya menumpaskan sindiket dipercayai terbabit dalam penyeludupan dadah dalam kuantiti besar ke Malaysia.

Menurut portal berkenaan, sindiket itu lumpuh selepas enam suspek ditahan dalam operasi membanteras dadah di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 September lalu.

Dalam operasi itu, polis menemukan 1,840 kilogram (kg) syabu (methamphetamine), empat juta pil perangsang dan 14 kg heroin yang disembunyikan di sebuah gudang.

Pihak berkuasa negara tersebut dilaporkan berkata, dadah itu dipercayai dibeli dari Negeri Shan dan diarahkan untuk dihantar ke Malaysia.

Laporan itu turut mendakwa semua individu berkenaan dikaitkan dengan kumpulan bersenjata Arakan Army, dengan penyiasat memaklumkan pasaran dadah tersebut meliputi Bangladesh, Malaysia serta beberapa negara Barat dan Asia Barat.

Dalam operasi berasingan pada Ogos lalu, pil amphetamine, syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM300 juta (AS$71 juta) turut dirampas selepas beberapa ketua sindiket ditahan.