PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) secara percubaan bermula 22 September depan sehingga 28 Februari 2026.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan percubaan itu akan bermula di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor sebelum diperluas secara berperingkat ke lima lapangan terbang antarabangsa utama iaitu KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah.
"Sepanjang tempoh percubaan tersebut, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan untuk urusan kemasukan serta perlepasan imigresen," katanya pada Rabu.
Bagaimanapun, ujar KDN, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe yang boleh didapati di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery bagi memudahkan urusan di pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaan sistem baharu itu.
“Pelaksanaan NIISe yang dipercepat daripada jadual asal Mac 2026 merupakan sebahagian daripada agenda reformasi Kerajaan Madani di bawah KDN.
"Sistem ini akan meningkatkan kecekapan dan menaik taraf proses semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara,” jelas kementerian itu.
KDN turut mengingatkan bahawa dokumen perjalanan atau pasport yang sah tetap diperlukan mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63 bagi urusan keluar masuk negara.
“KDN kekal komited memperkukuh kawalan sempadan negara demi keselamatan, kelancaran perjalanan dan kemudahan rakyat selaras aspirasi Kerajaan Madani," katanya.