KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada terutama menjelang musim pemberian bantuan dan perayaan kerana menjadi sasaran mudah scammer.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana pemberian SARA dan sambutan Tahun Baru Cina serta Hari Raya Puasa tahun ini berlaku dalam jarak masa dekat.
“Sudah pasti ibu bapa akan keluarkan duit membuat persiapan bagi perbelanjaan harian, persiapan hari raya, isi ‘ang pau’ dan pembelian barang keperluan perayaan.
“Berwaspadalah kerana pada waktu ini scammer akan berleluasa dan anggap ia musim ‘memancing’.
“Sekiranya menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) mengandungi pautan (hyperlink), jangan klik,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 anjuran MCMC di Taman Tasik Titiwangsa pada Ahad.
Dalam pada itu Fahmi memaklumkan, pihak MCMC telah menetapkan SMS rasmi tidak akan mengandungi sebarang jenis pautan.
Justeru, beliau mengingatkan, sekiranya orang ramai menerima SMS sedemikian, ia bermaksud scammer berada berhampiran lokasi mangsa dan menggunakan ‘fake base station’ untuk menghantar mesej penipuan untuk memperdaya mangsa.
“Sila berhati-hati dan jangan menjadi mangsa scam. Sekiranya menjadi mangsa, National Scam Response Centre (NSRC) sedia membantu.
“Dengan pembukaan pejabat baru dan penambahan anggota, NSRC kini boleh menerima panggilan 24 jam.
“Laporkan kepada NSRC dalam masa 30 minit membolehkan pihak berkuasa menahan aliran keluar wang dan kembalikan duit anda,” jelasnya.