PUTRAJAYA – BudayaVerse 2025 dilancarkan secara rasmi pada Selasa bersempena Hari Malaysia oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Program yang menghubungkan seni dan teknologi digital itu digerakkan oleh Creative and Cultural Strategic Development Organization (CRESDO) dengan kerjasama pelbagai rakan sinergi industri, termasuk pemain teknologi serta komuniti kreatif.
Naib Pengerusi CRESDO, Farid Zulkepli berkata, inisiatif kolaboratif tersebut merupakan langkah berani dalam mengintegrasikan seni budaya dengan inovasi bagi meningkatkan nilai komersial serta kebolehpasarannya, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“BudayaVerse 2025 mewakili kekuatan kolaborasi dengan CRESDO dan rakan sinergi berganding bahu, kita membentuk masa depan di mana budaya dan teknologi bergerak seiring.
"Ia bertujuan memperkasa ekonomi kreatif dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sorotan utama BudayaVerse 2025 ialah Pertandingan Rekaan AI x Budaya dari 16 September hingga 30 November depan secara dalam talian yang mana pencipta visual dan pengguna kecerdasan buatan (AI) dijemput untuk menzahirkan semula seni budaya Malaysia dalam konteks masa depan digital.
Melalui platform berkenaan, peserta digalakkan menggabungkan elemen tradisi dengan teknologi, sekali gus menampilkan cara warisan boleh berkembang kepada bentuk ekspresi kreatif baharu yang bersifat komersial bagi memenangi hadiah terkumpul sebanyak RM5,000.
Segmen itu turut mendapat sokongan rakan sinergi kreatif AI iaitu NOVA NETWORK, NEURAMERGE dan PROMPTER MALAYA yang kini mempunyai lebih daripada 500,000 ahli di seluruh negara.
Sementara itu, pameran dan program SinergiBudaya dari 27 hingga 28 Disember depan turut akan diadakan di Putrajaya menjadi platform kolaboratif yang melangkaui pertandingan.
Sektor korporat diseru untuk turut serta melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kerjasama budaya, seterusnya membuka peluang memperkasakan badan bukan kerajaan (NGO), penggiat budaya serta komuniti kreatif.
Pendekatan inklusif tersebut direka bentuk untuk memupuk ekosistem budaya yang mampan, di mana warisan, inovasi dan industri berganding bahu memberikan impak jangka panjang.
Pihak korporat amat dialu-alukan untuk menyertai inisiatif berkenaan melalui program CSR, sokongan tajaan dan penglibatan strategik bagi membina ekosistem seni budaya yang lestari.