MANILA – Seorang pelancong dari Filipina berusia 53 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menaiki salah satu permainan di Disneyland, Hong Kong pada Jumaat.
Menurut laporan South China Morning Post, isteri mangsa menyedari suaminya pengsan ketika permainan itu masih bergerak dan segera memaklumkan kepada kakitangan taman tema berkenaan.
Iklan
Iklan
Konsulat Jeneral Filipina di Hong Kong menerusi bahagian bantuan untuk warganegara mengesahkan kejadian tersebut dan menghubungi keluarga mangsa bagi membantu proses membawa pulang jenazah.
Dalam satu kenyataan, Department of Foreign Affairs Filipina memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi tujuan tersebut.
Media tempatan melaporkan mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung lebih 10 tahun dan turut menghidap tekanan darah tinggi yang memerlukan rawatan serta pemeriksaan perubatan secara berkala.
Sementara itu, jurucakap Hong Kong Disneyland berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan aspek keselamatan permainan di Disneyland.
“Resort ini amat kesal dengan pemergian pengunjung tersebut dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa,” katanya.