Presiden ke-9 FAM harus sinonim nombor 9

Iklan
Presiden FAM yang baharu perlu memiliki model kepimpinan fleksibel, kreatif seperti false nine dalam bola sepak.

KERUSI nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini kembali kosong setelah Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub melepaskan jawatan sebagai presiden kelapan badan induk itu pada 26 Ogos lalu, meninggalkan kekosongan pada posisi badan sukan paling berprestij negara.

Buat sementara, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi diberi mandat sebagai pemangku presiden bagi mengemudi organisasi berprofil tinggi berpangkalan di Kelana Jaya sehingga kongres tahunan 2026.

Iklan
Iklan

Episod ini membuka gelanggang kepada perbahasan penting siapa yang layak mengisi kerusi presiden kesembilan, setahun sebelum FAM mencecah ulang tahun ke-100 kewujudannya?

Dalam bola sepak, nombor sembilan adalah jantung serangan. Dialah penyerang utama, dialah penyudah klinikal, dialah sandaran ribuan penyokong yang mahu melihat jaring bergoncang.

Iklan

Kerusi presiden FAM tidak jauh beza posisinya sinonim dengan penyerang nombor sembilan. Segala harapan, tekanan dan beban diletakkan di bahu satu individu. Namun, bola sepak moden telah membuktikan nombor sembilan bukan lagi statik.

Evolusi false nine mengubah peranan penyerang; mereka bukan hanya penyudah, tetapi penggerak taktikal yang sanggup turun ke bawah, menarik perhatian lawan, dan membuka ruang buat rakan sepasukan.

Iklan

Itulah model kepimpinan yang FAM perlukan. Presiden baharu tidak boleh sekadar menjadi figura simbolik yang menunggu hantaran.

Beliau mesti menjadi false nine dalam pentadbiran fleksibel, kreatif, dan sanggup memulakan gerakan. Kepemimpinan sebegini mampu menstrukturkan semula organisasi, membina momentum baharu, dan menghidupkan keyakinan penyokong yang kerap dikecewakan dengan janji kosong.

Tambahan pula, pada 11 September lalu, FAM baru sahaja menyambut ulang tahun ke-99. Usia yang hampir mencecah satu abad menuntut hala tuju segar.

Menjelang ulang tahun ke-100, FAM sedang memberi tumpuan kepada tiga agenda utama: pembangunan pemain muda, pengukuhan liga profesional, serta persiapan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Semua ini menuntut seorang presiden yang bukan sahaja berkarisma, tetapi memiliki visi jangka panjang serta keupayaan strategik menggerakkan pelan menyeluruh.

Di sinilah hujah paling kritikal muncul presiden kesembilan wajar datang daripada kalangan tokoh korporat berwibawa yang memiliki political will.

Bola sepak moden bukan sekadar sukan, ia adalah industri bernilai berbilion ringgit. Mustahil bola sepak Malaysia mahu bersaing tanpa dana besar, pelaburan kukuh, dan sokongan politik yang mampu membuka pintu kerjasama dengan kerajaan serta pihak swasta.

Tokoh korporat berpengaruh ibarat penyerang nombor sembilan yang tidak hanya menunggu peluang, tetapi mencipta peluang baharu.

Tokoh sebegini memiliki dua kekuatan. Pertama, sebagai 'nombor sembilan klasik', beliau berani membuat keputusan sukar termasuk pembaharuan struktur liga, pelaburan akademi atau rombakan sistem pembangunan akar umbi.

Kedua, sebagai false nine, beliau sanggup turun padang mendengar suara akar umbi, mendekati komuniti penyokong, dan memberi ruang kepada jurulatih serta pemain muda untuk berkembang. Kesepaduan antara dua gaya inilah yang akan memberikan impak kepada bakal presiden kesembilan ini.

Konteks semasa pula menuntut keberanian. FAM bukan sahaja perlu menguruskan perjalanan liga domestik yang semakin kompetitif, tetapi juga memastikan Harimau Malaya terus mencatat kemaraan di pentas antarabangsa.

Penyokong sudah letih dengan retorik dan janji manis. Mereka mahu lihat tindakan nyata. Justeru, presiden kesembilan mesti berfungsi sebagai penjaring peluang terakhir memastikan setiap visi diterjemahkan kepada hasil di padang. Dari kelestarian liga hingga ke kelayakan kejohanan besar, semua perlu diurus dengan disiplin dan fokus.

Kesimpulannya, kekosongan kerusi presiden FAM hadir pada saat paling kritikal dalam sejarah bola sepak negara sebelum ulang tahun ke-100. Inilah masa untuk badan induk itu melantik seorang pemimpin yang menggabungkan roh nombor sembilan dan kecerdikan false nine.

Tokoh korporat berwibawa yang memiliki political will adalah pilihan terbaik yang bukan sahaja mampu menyudahkan peluang, tetapi juga membuka ruang baharu, menarik pelaburan strategik, serta memastikan kewangan FAM stabil dan mampan.

Dengan kepemimpinan sebegini, bola sepak Malaysia berpeluang melangkah dengan penuh maruah, keyakinan dan visi yang segar.

* Zuraimee Zainal Penolong Editor Sukan Sinar