SHAH ALAM - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menyifatkan kes ugutan video lucah palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke atas wakil rakyat sebagai sesuatu yang menakutkan dan boleh menggoncang kestabilan politik.
Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, keadaan itu juga menunjukkan perubahan besar dalam cara seseorang atau satu-satu pihak melemparkan tuduhan palsu seiring dengan kecanggihan teknologi.
“Dalam politik, kalau dahulu untuk sebar tuduhan palsu orang guna surat layang tetapi sekarang lagi canggih apabila ada yang berani buat video lucah palsu AI dan menuduh wakil rakyat sebagai pelaku serta membuat ugutan.
“Saya tidak pernah dengar kes ramai wakil rakyat diugut guna video lucah janaan AI sebegini di luar negara jadi amat mengejutkan bila kes ini dilapor berlaku di negara ini ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sekurang-kurangnya 11 wakil rakyat yang majoritinya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini dilapor menerima e-mel ugutan menggunakan ayat yang hampir sama dengan tangkap layar serupa memaparkan mereka seolah-olah melakukan hubungan seks songsang.
Penjenayah siber terbabit menuntut wang tebusan sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,00) supaya video lucah palsu berkenaan tidak disebarkan.
Selain Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, wakil rakyat lain yang menerima ugutan ialah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Mengulas lanjut mengenainya, Abdul Aziz berpandangan, perbuatan penjenayah siber itu seolah-olah menunjukkan wujud satu gerakan untuk memberi tekanan kepada ahli politik.
Katanya, ahli-ahli politik yang menerima ugutan pula boleh dikatakan agak lantang dalam menyuarakan pendapat masing-masing dan berpotensi untuk lebih maju ke depan.
“Ini macam nak menyekat atau melemahkan semangat juang wakil-wakil rakyat ini. Ia macam satu peluru berpandu buat mereka.
“Dengan perkembangan ini, kita boleh lihat politik sekarang jauh lebih kotor dan tenat. Teknologi canggih seperti AI disalah guna dalam peperangan politik lebih-lebih lagi pilihan raya umum pun dijangka akan berlangsung tidak lama lagi,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci untuk memastikan dalang yang melakukan ugutan dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan agar perkara itu tidak terus berlaku.