Perangi rasuah perlu pendekatan holistik, bukan sekadar tangkap dan dakwa

Iklan
Usaha memerangi rasuah di Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan menangkap dan mendakwa semata-mata. Gambar hiasan (Gambar kecil: Bibi Sunita)

SHAH ALAM – Usaha memerangi rasuah di Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan menangkap dan mendakwa semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan holistik meliputi pembaharuan sistem politik, pentadbiran dan pendidikan negara.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara konsisten tanpa pilih kasih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat sesiapa sahaja tanpa takut campur tangan politik.

“Selain itu, reformasi pembiayaan politik mesti digubal dengan had perbelanjaan pilihan raya yang jelas serta ketelusan dalam penerimaan derma, sekali gus mengharamkan derma daripada sumber yang tidak diketahui.

Iklan

“Perlindungan menyeluruh kepada pemberi maklumat juga penting melalui pengukuhan Akta Pemberi Maklumat selain mewajibkan pendedahan tender dan projek kerajaan secara terbuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bibi Sunita turut menyarankan supaya semua ahli politik dan penjawat awam kanan diwajibkan mengisytiharkan harta untuk tatapan umum.

Iklan

Beliau menambah, pada masa sama, pendidikan integriti serta kempen kesedaran antirasuah mesti dimulakan sejak sekolah agar perubahan budaya dapat dicapai.

Menurutnya lagi, undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) wajar dikuatkuasakan dengan lebih ketat terhadap sektor swasta yang terbabit dalam pemberian rasuah.

Bibi Sunita menegaskan, saranan itu dibuat memandangkan tahap rasuah di negara ini kekal serius dan membimbangkan.

“Walaupun skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat kepada 50/100 dengan kedudukan ke-57 pada 2023, namun angka itu masih menunjukkan Malaysia berada di pertengahan skala dan jauh ketinggalan berbanding Singapura,” jelasnya.