PDRM siasat tiga video tular berunsur hasutan, salah guna lambang diraja

Iklan
M Kumar

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap tiga video tular di aplikasi TikTok yang berunsur hasutan, penghinaan serta menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Polis, Datuk M Kumar berkata, siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 melibatkan dua akaun TikTok serta sebuah video yang memaparkan majlis meniru gaya istiadat kerabat diraja.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan satu akaun TikTok dengan memuat naik komen berunsur hasutan dan penghinaan terhadap kerajaan serta pemimpin negara.

"Kes kedua membabitkan seorang lelaki menggunakan satu akaun yang mempertikai tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru hingga berpotensi mencetuskan permusuhan antara kumpulan.

Iklan

"Manakala kes ketiga melibatkan video majlis aqiqah sebuah keluarga yang berpakaian serba kuning dan bertengkolok menyerupai gaya istiadat kerabat diraja, video didakwa menyalahgunakan lambang diraja dalam acara peribadi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, tiga kes ini jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan.

Iklan

"PDRM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.

"Siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan atau memuat naik kandungan di media sosial.