PORT DICKSON - Gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan usaha mengumpul petisyen bagi menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga selari dengan usaha menyingkirkan nama-nama peninggalan penjajah daripada identiti negara.
NGO terlibat ialah Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (Identiti), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Gabungan Nasionalis (GN) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Menurut Pengerusi Identiti, Islah Wahyudi Zainudin, berdasarkan sejarah, daerah itu dahulunya merupakan sebuah perkampungan Melayu dikenali sebagai Tanjung Kemuning, namun dirampas oleh Gabenor British iaitu Dickson, sebelum menukarnya kepada nama Port Dickson sekitar tahun 1889.
“Ramai tidak tahu bahawa Dickson telah merampas Tanjung Kemuning, sebuah perkampungan Melayu yang kini lenyap sepenuhnya. Bukti peninggalan Kampung Bahasa Kapor hari ini hanyalah sebuah masjid lama iaitu Masjid Lama Port Dickson Kampung Bahasa Kapor yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
“Ini bukan perbuatan yang wajar dijulang atau dibanggakan. Nama penjajah pula yang diangkat menjadi identiti negara kita. Pada saya, ini sesuatu yang tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, walaupun negara telah 68 tahun merdeka daripada penjajah Inggeris namun amat mengecewakan apabila masih banyak nama berkait penjajah kekal dalam identiti geografi negara.
“Usaha menyingkirkan nama penjajah sebenarnya telah bermula sejak awal kemerdekaan contohnya, North Borneo ditukar kepada Sabah (1963), Jesselton kepada Kota Kinabalu (1965), Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang (1972), Province Wellesley kepada Seberang Perai (1972), Telok Anson kepada Teluk Intan (1982) dan Port Weld kepada Kuala Sepetang (1982).
“Mengapa usaha itu dihentikan? Mengapa tidak diteruskan untuk menaikkan identiti asal dan menyingkirkan nama penjajah yang tidak mencerminkan sejarah sebenar kita?” soalnya.
Islah Wahyudi turut mendesak kerajaan negeri menjelaskan sama ada identiti Negeri Sembilan masih berteraskan budaya Melayu seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, atau telah dicemari dengan unsur asing.
“Saya, mewakili Identiti telah banyak membuat aduan mengenai ‘pelacuran’ bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan kerana melanggar Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Kerajaan Tempatan yang mewajibkan penggunaan bahasa rasmi diutamakan dari segi kedudukan, saiz dan warna berbanding bahasa lain.
“Namun aduan-aduan ini masih belum mendapat sebarang maklum balas, berbanding tindakan tegas yang telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri lain seperti Selangor, Perak dan Johor,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan walaupun penukaran nama mungkin melibatkan kos yang tinggi namun ia wajar dilaksanakan demi jangka masa panjang.
“Tanpa tindakan tegas hari ini, kita bimbang generasi akan datang tidak mengenali sejarah dan identiti sebenar negara ini.
“Saya berharap pemimpin yang berjiwa besar dan bertanggungjawab tampil untuk mencatat sejarah sebagai individu yang berjasa mengembalikan identiti asal dan memperkasa bahasa kebangsaan.
“Nama Pantai Dermaga dipilih kerana membawa maksud pantai pelabuhan dan pada masa sama mengekalkan akronim PD sebagai identiti tempatan,” ujarnya.