PM Sepanyol desak Israel 'diusir' dari pentas sukan antarabangsa

Iklan
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez. Foto Agensi

MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, menggesa supaya Israel dikecualikan daripada semua pertandingan sukan antarabangsa susulan serangan berterusan rejim itu di Gaza.

“Israel tidak boleh terus menggunakan mana-mana platform antarabangsa untuk membersihkan imejnya,” katanya ketika berucap pada perhimpunan Parti Sosialis Pekerja Sepanyol (PSOE) pada Isnin.

Iklan
Iklan

Sánchez menegaskan Israel perlu dilayan sama seperti Rusia yang digantung daripada acara sukan dunia selepas menceroboh Ukraine pada 2022.

Kenyataannya itu mencetuskan kecaman Menteri Luar Israel, Gideon Saar, yang menyifatkan beliau sebagai 'memalukan' selain menuduh Sánchez mengapi-apikan protes pro-Palestin di Madrid sehingga menyebabkan pentas akhir perlumbaan berbasikal Vuelta a España dibatalkan.

Iklan

Awal hari sama, Sánchez turut memuji protes besar-besaran sepanjang perlumbaan itu yang menurutnya membuktikan Sepanyol 'berdiri megah' mempertahankan isu Gaza.

Protes itu melibatkan sekitar 100,000 orang, menurut angka rasmi. Menteri Transformasi Digital, Óscar López, turut menyokong demonstrasi tersebut dengan menyifatkan tindakan Israel sebagai “genosid yang tiada nama lain”.

Iklan

Menteri Kebudayaan, Ernest Urtasun, pula menegaskan Israel tidak sepatutnya dibenarkan menyertai Eurovision Song Contest, mengulangi desakan Sánchez awal tahun ini. Malah, penyiar rasmi Ireland dan Belanda turut mengumumkan mereka akan menarik diri jika Israel tetap dibenarkan bertanding.

Hubungan Madrid–Tel Aviv sudah lama tegang, khususnya sejak 2023 apabila Sánchez lantang mengkritik korban orang awam di Gaza. Tahun lalu, Sepanyol bersama Norway dan Ireland mengiktiraf negara Palestin, manakala minggu lalu Sánchez mengumumkan embargo senjata ke atas Israel dan menuduhnya melakukan genosid.

Tindakan itu disusuli Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, yang menyeru supaya hubungan dagangan dengan Israel digantung sambil mengakui Eropah gagal mencari jawapan tegas terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza yang dikuasai Hamas, sekurang-kurangnya 64,871 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023, iaitu selepas serangan Hamas yang mengorbankan 1,200 orang di selatan Israel.-Agensi