Dunia antarabangsa mesti lebih berani putus hubungan dengan Israel - ABIM

Iklan
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM – Dunia antarabangsa mesti berani mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kecaman melalui kenyataan ketua-ketua negara semata-mata tidak lagi mencukupi dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata negara-negara Arab dan dunia Islam juga digesa menarik balik sebarang bentuk normalisasi pernah dilakukan terhadap Israel kerana langkah itu hanya memberi legitimasi kepada kezaliman serta menguatkan lagi agenda Israel Raya.

"Serangan udara rejim Zionis Israel ke atas Doha merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keamanan dunia.

Iklan

"Tindakan itu adalah bukti nyata bahawa Israel sedang menggerakkan agenda Israel Raya untuk meluaskan pengaruh ketenteraan, mencabul kedaulatan negara-negara serantau serta menggagalkan usaha damai masyarakat antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Fahmi meluahkan kebimbangan apabila tragedi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing apabila rumah musnah, hospital dibedil serta wanita dan kanak-kanak tidak berdosa terus menjadi korban.

Iklan

Beliau berpandangan rejim Zionis kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, malah secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin dan menolak sama sekali solusi dua negara.

Tambahnya, Israel dilihat tetap meneruskan genosid, mengekalkan dasar apartheid serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.

Justeru, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa suara Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar.

Menurutnya, kerajaan Malaysia juga wajar membantu misi Global Sumud Flotilla yang disertai rakyat tempatan termasuk dengan menubuhkan pasukan pemantauan di Wisma Putra, menyediakan sokongan krisis serta memberi bantuan undang-undang antarabangsa sekiranya peserta ditahan Israel.

“Keberanian masyarakat sivil antarabangsa mesti disokong dengan tindakan kerajaan agar solidariti umat benar-benar membuahkan hasil,” ujarnya.

Beliau turut menyeru komuniti global, bukan sahaja dunia Islam, agar bertindak lebih tegas menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel.