Siapa layak jadi calon PM daripada PN?

Iklan
Abdul Hadi (depan, tengah) bersama Muhyiddin (depan, kiri) dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (depan, kanan) pada Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke 71.

Isu siapa layak menjadi calon Perdana Menteri mewakili Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong parti.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih awal menamakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Ahad minggu lepas.

Iklan
Iklan

Beberapa hari kemudian, Dewan Pemuda Pas pula membawa usul supaya calon Perdana Menteri datang daripada parti itu ketika Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.

Bersatu melihat Muhyiddin sebagai figura berpengalaman, berkarisma dan pernah menggalas jawatan tersebut, manakala Pemuda Pas menyatakan sokongan penuh bahawa calon Perdana Menteri daripada parti itu hendaklah berusia bawah 70 tahun.

Iklan

Pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-71 pada Isnin, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri menolak untuk menjadi calon Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.

Abdul Hadi memaklumkan, Pas tetap bersedia memimpin negara dengan syarat parti itu terlebih dahulu berjaya memenangi pilihan raya.

Iklan

Bagaimanapun, tambah beliau, soal siapa bakal Perdana Menteri akan ditentukan secara dalaman dalam PN kerana keutamaan gabungan itu ialah menang pilihan raya dahulu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut berpendapat, Pas berhak beri pandangan tentang calon Perdana Menteri yang dirasakan layak, bagaimanapun perkara itu hanya akan diputuskan dalam pertemuan antara Majlis Tertinggi PN.

Beliau yang turut menghadiri Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke 71 itu memberitahu, perbincangan berhubung isu tersebut akan dibuat dalam pertemuan MT yang dijangka diadakan kelak.

Dalam konteks PN, ‘poster boy’ bukan sekadar soal individu, tetapi simbol kebersatuan parti gabungan.

Sekiranya wujud percanggahan yang ketara, ia berpotensi menjejaskan keyakinan pengundi terhadap PN dan sebarang perbalahan terbuka hanya akan membuka ruang lawan menyerang.

Justeru, ahli-ahli PN sama ada daripada Bersatu, Pas ataupun parti-parti lain dalam gabungan itu perlu menghormati keputusan yang akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.

Keputusan secara kolektif lebih utama berbanding desakan peribadi atau kelompok kecil, manakala mengutamakan disiplin jamaah adalah kunci kekuatan gabungan terbabit.

Sama ada 'poster boy' datang daripada Bersatu atau Pas, yang lebih penting ialah kesediaan semua pihak dalam PN untuk akur kepada keputusan bersama.

Fokus sebenar adalah mengukuhkan kedudukan PN di hati rakyat, menawarkan dasar yang jelas serta meyakinkan pengundi menjelang pilihan raya akan datang.

Ingatlah, rakyat mahu melihat kepimpinan stabil, maka kematangan politik PN akan dinilai melalui cara isu calon Perdana Menteri terbabit ditangani.