Penaga tenang, mendamaikan

Iklan
Di Kampung Agong terdapat sarang burung tempua, burung wak wak dan burung helang yang dibuat dari sarang burung asli untuk para pengunjung bergambar.

KEPALA BATAS - Terletak di daerah Seberang Perai utara Pulau Pinang, kawasan Penaga menawarkan pesona berbeza daripada suasana bandar yang sibuk dan sesak.

Kawasan ini menjadi pilihan ramai pengunjung yang mahu melarikan diri daripada tekanan hidup kota, menikmati ketenangan dan keindahan semula jadi yang masih terpelihara.

Iklan
Iklan

Dikenali dengan suasana kampung yang damai dan udara segar, Penaga menjadi destinasi ideal untuk pelancong yang menghargai ketenangan serta ingin merasai pengalaman yang lebih dekat dengan budaya tradisional Melayu.

Kehijauan sawah padi yang terbentang luas, pohon kelapa melambai lembut ditiup angin dan senyuman penduduk setempat menjadi tarikan utama.

Iklan

Pemandangan menarik di Kampung Agong pasti menggamit kenangan di desa.

Antara lokasi yang wajib dikunjungi ialah Kampung Agong yang menjadi salah satu destinasi pelancongan berkonsepkan perkampungan tradisional membuatkan ramai terkenangkan suasana di desa.

Iklan

Pemandangan tambah menarik apabila ada kebun kelapa dan sawah padi, selain dihiasi struktur tradisional Melayu desa dan pelbagai aktiviti kebudayaan disediakan.

Di kampung itu juga terdapat sarang burung tempua, burung wak wak dan burung helang yang dibuat dari sarang burung asli untuk pengunjung bergambar.

Pasti ramai teruja dengan menerokai kawasan itu yang dibahagikan kepada tiga bahagian taman dengan tarikan berbeza.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai menu istimewa di Kebun Nipah Pak Man.

Destinasi ini turut menyediakan penginapan berkonsep inap desa yang membolehkan pelawat bermalam sambil menikmati kehidupan desa yang sebenar.

Tidak jauh dari situ, pengunjung juga boleh singgah di Pasar Bisik, satu-satunya pasar ikan yang mengamalkan teknik tawar-menawar secara berbisik.

Tradisi unik ini diwarisi sejak zaman dahulu dan kekal menjadi keunikan warisan masyarakat nelayan di Penaga.

Pasar ini bukan sahaja menarik perhatian pelancong tempatan, malah menjadi fokus pelancong luar negara yang ingin menyaksikan sendiri keunikan budaya dagangan tradisional tersebut.

Satu lagi lokasi menarik ialah Kebun Nipah Pak Man, destinasi eko-pelancongan yang terkenal dengan aktiviti menyusuri sungai nipah, memancing, menikmati air nira asli dan mengenali lebih dekat ekosistem pokok nipah yang menjadi habitat penting pelbagai hidupan liar.

Ia sangat sesuai untuk keluarga dan pencinta alam yang mahu merasai pengalaman luar biasa.

Boleh dikatakan lokasi Kebun Nipah Pak Man ini sesuai untuk mereka yang ingin rasakan ketenangan atau 'healing' ditemani keindahan alam.

Tidak ketinggalan, Pusat Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak bersejarah yang mempamerkan tinggalan manusia prasejarah yang dipercayai berusia lebih 5,000 tahun.

Pusat Arkeologi Guar Kepah.

Pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah bertujuan untuk mempamerkan kesemua artifak dan rangka Guar Kepah serta memartabatkan warisan sejarah darah SPU Pulau Pinang.

Pembangunan Pusat Arkeologi Guar Kepah dua tingkat dengan konsep archaeo-edu-tourism ini merangkumi komponen seperti ruang pameran interaktif, dewan seminar, tapak timbunan cengkerang, ruang pentadbiran serta kemudahan pengunjung seperti surau dan tandas.

Jumpaan paling signifikan di tapak arkeologi Guar Kepah ini ialah rangka manusia Guar Kepah yang dikenali sebagai Penang Women (GK2017) pada 2017 berusia lebih daripada 5,000 tahun yang menjadi bahan pameran utama di pusat ini.

Selain itu, sebanyak 42 rangka manusia ditemui di Guar Kepah yang dijumpai semasa ekskavasi P V van Stein Callenfels (1936) yang kini disimpan di Leiden, Belanda akan dibawa pulang dan akan dipamerkan di pusat arkeologi ini.

Penaga sememangnya sebuah destinasi yang menawarkan keunikan tersendiri.

Dengan gabungan keindahan alam, budaya tradisi dan warisan sejarah, kawasan ini boleh menjadi destinasi percutian sekiranya bertandang di Pulau Pinang.