Kerajaan digesa perketat pengawasan rasuah dalam perbankan - Benevolent Malaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Op Sky: 20 pegawai bank akan didakwa. Gambar kecil: Akram Syahmi

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperkasakan mekanisme pengawasan dan pemantauan dalam sistem perbankan negara bagi memastikan kes rasuah melibatkan institusi kewangan tidak berulang.

Setiausaha Agung Benevolent Malaysia, Akram Syahmi Azmi berkata, kes pendakwaan membabitkan 20 pegawai bank yang didakwa meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam perlu menjadi pengajaran keras kepada semua pihak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kegagalan institusi kewangan menekankan aspek integriti dan ketelusan dalam proses kelulusan pinjaman hanya membuka ruang kepada amalan rasuah serta mendedahkan segelintir penjawat awam kepada beban hutang di luar kemampuan.

“Integriti yang kukuh dalam sistem perbankan bukan sahaja melindungi rakyat daripada eksploitasi hutang, malah ia merupakan asas penting kepada pembangunan negara yang adil, telus dan sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, seramai 20 pegawai bank bakal didakwa di mahkamah pada hujung September atau awal Oktober ini selepas dipercayai meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pendakwaan akan dibuat mengikut Akta SPRM.

Iklan

Menurut Akram Syahmi, proses saringan dan tapisan yang tidak dilakukan secara telus boleh membuka ruang kepada amalan rasuah, malah menyebabkan segelintir penjawat awam terjebak dengan beban hutang di luar kemampuan mereka.

Kata beliau, tindakan pihak berkuasa membawa kes tersebut ke muka pengadilan mencerminkan prinsip Rule of Law yang menjadi asas kepada negara ini.

“Pendakwaan terhadap mereka yang terlibat membuktikan bahawa tiada sesiapa pun terkecuali daripada undang-undang, sama ada individu biasa atau pegawai institusi kewangan.

“Benevolent Malaysia berharap pendakwaan ini menjadi pengajaran keras kepada semua pihak dalam sektor perbankan agar mengutamakan integriti, ketelusan dan tanggungjawab sosial.

“Institusi kewangan mesti bertindak sebagai benteng kawalan, bukannya pintu masuk kepada amalan salah guna kuasa,” ujarnya.