SKUAD ragbi lelaki Bawah 18 (B-18) negara menutup kempen Kejohanan Ragbi Asia B-18 di Hohhot, China dalam kalangan kedudukan kelima terbaik selepas menewaskan India 22-12 pada aksi penentuan kedudukan, pada Ahad.
Ketua jurulatihnya, Mohd Syahir Asraf Rosli berkata, beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan walaupun gagal mencapai sasaran mara ke separuh akhir.
“Saya rasa tahun ini pasukan kita benar-benar meningkat dari segi tahap kompetitif. Walaupun kurang bernasib baik untuk berada dalam kelompok tiga terbaik, kita berjaya mengekalkan kedudukan kelima selaku juara Plate.
“Banyak maklumat, pembaikan dan pelan penambahbaikan yang kita peroleh daripada kejohanan ini. Saya masih gembira dan berpuas hati kerana semua pemain mengekalkan semangat juang sehingga hari terakhir,” katanya.
Mohd Syahir menambah, kemenangan ke atas India turut membuktikan skuad muda negara mampu meningkatkan persaingan serta memperbaiki rekod pertemuan menentang lawan dari Asia Selatan itu.
Skuad ragbi lelaki B-18 negara dalam aksi penentuan kedudukan kelima keenam, Ahad di Hohhot, China anak buah Mohd Syahir Asraf Rosli berjaya menundukkan India 22-12 selepas terlebih dahulu menyingkirkan Qatar 41-0 dalam playoff kelima kelapan.
Sebelum itu, Bunga Raya membuka saingan peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya 40-5 ke atas Kazakhstan, namun tunduk 7-47 kepada gergasi Asia, Jepun serta tewas tipis 14-17 kepada Taiwan.
Sementara itu, pengendali Bunga Raya B-18 wanita, Josephine Augustine mengakui pasukannya berdepan kekangan persediaan apabila hanya menjalani latihan berpusat selama tiga hari sebelum berlepas ke China.
“Untuk tahun ini, kami mohon maaf kerana tidak dapat memberikan yang terbaik. Memang ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki, terutama dari segi latihan berpusat.
“Tiga hari terlalu singkat kerana program untuk pasukan wanita tidak sama dengan lelaki. Kita juga tidak mempunyai sekolah sukan khas untuk pemain wanita, jadi saya berharap pada masa depan akan ada sekolah khusus supaya kita boleh membina pasukan yang lebih mantap,” katanya.
Josephine menegaskan, tiada alasan lain diberikan selain menjadikan pengalaman di Hohhot sebagai ruang untuk menambah baik program pembangunan skuad wanita.
“Terima kasih atas peluang yang diberikan dan saya berharap tahun depan kita akan terus menghantar pasukan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan pemain wanita,” ujarnya.
Anak buah Augustine pula menamatkan cabaran di tangga ketujuh selepas tewas 10-26 kepada Kazakhstan dalam aksi klasifikasi kelima kelapan.
Bunga Raya B-18 kemudiannya menerima bye untuk penentuan ketujuh kelapan.
Dalam peringkat kumpulan, Bunga Raya wanita bergelut menyaingi lawan apabila tumbang 0-15 kepada Uzbekistan, selain dikecewakan Jepun 0-64 dan India 5-24.
Biarpun pulang dengan kedudukan pertengahan (lelaki) dan terakhir (wanita), penyertaan kedua-dua skuad di pentas benua boleh disifatkan sebagai pengalaman penting dalam membina keyakinan dan kematangan pemain serta memperkukuh pembangunan ragbi belia tanah air.