KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) digesa supaya memainkan peranan penting menyiasat secara menyeluruh dan membaiki struktur Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya benar badan induk bola sepak itu mahu meminta bantuan AFC susulan kemungkinan peletakan jawatan beramai-ramai barisan Exconya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berpandangan, jika langkah itu benar-benar berlaku, AFC tidak seharusnya menjadi penjaga sementara sebaliknya perlu menggunakan mandat tersebut untuk melakukan pembersihan menyeluruh terhadap sistem pentadbiran FAM.
Beliau berkata, antara perkara utama yang perlu dilakukan oleh AFC ialah mengkaji semula statut FAM serta menjalankan audit terperinci terhadap badan induk bola sepak negara itu.
“Semua perkara perlu diaudit secara telus. Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab mesti menjalankan siasatan ini dan dalam masa sama mengubah statut bagi membetulkan sistem pentadbiran FAM,” katanya.
Sebelum ini, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi tidak menolak kemungkinan penglibatan AFC sekiranya Exco FAM memuktamadkan peletakan jawatan pada mesyuarat yang akan berlangsung pada 28 Januari ini.
Keputusan meletakkan jawatan itu dilihat sebagai percaturan awal FAM bagi mengelak campur tangan lebih keras daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), khususnya sekiranya keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berpihak kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Difahamkan, sekiranya FAM memohon bantuan. AFC akan membantu dari segi urus tadbir FAM jika terdapat apa-apa kelemahan sekarang.
Krisis yang sedang melanda FAM bermula pada September tahun lalu selepas FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Siasatan mendapati FAM mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan ketujuh-tujuh pemain tersebut, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam kemenangan 4-0 ke atas Vietnam dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia AFC 2027 di Bukit Jalil pada Jun tahun lepas.
Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) dan kesemua mereka digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
FAM kini menunggu keputusan rayuan di CAS selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan ketujuh-tujuh pemain berkenaan.
Lebih terbuka, telus dan adil
Zakaria turut menekankan keperluan menjadikan sistem pencalonan dan pemilihan kepimpinan FAM lebih terbuka, adil dan telus, bukannya terhad kepada kelompok kecil dalam kalangan anggota gabungan.
“Sekarang ini, sistem yang ada membuka ruang kepada manipulasi undi. Dengan bilangan anggota gabungan yang terhad dan kuasa undi yang kecil, mudah berlaku ‘vote rigging’. Sudah ada ‘cai-cai’, ada pasukan masing-masing, siapa boleh diundi dan siapa tidak.
“Akhirnya, yang naik tetap orang lama, wajah yang sama,” katanya.
Dalam masa sama, Zakaria menjelaskan, kritikan yang dilontarkan itu bukan bermaksud beliau menyalahkan sepenuhnya kepimpinan sedia ada, memandangkan kebanyakan mereka memiliki pengalaman serta kelayakan.
Namun katanya, rakyat dan peminat bola sepak negara mahukan satu perubahan yang jelas dan boleh dirasai, meskipun tiada jaminan bahawa muka baharu akan serta-merta membawa kejayaan.
“Macam politik juga, bila tukar pemimpin, tiada jaminan negara terus jadi lebih baik.
“Kita hanya tahu selepas mereka mentadbir. Tapi perubahan itu yang rakyat mahu lihat.
“Begitu juga dengan FAM. Yang penting, sistem diperbetulkan dulu.
“Kalau sistem betul, siapa pun yang memimpin, peluang untuk bola sepak negara pulih akan lebih besar,” katanya.