Krisis FAM: KBS tunggu laporan terperinci sebelum keluarkan kenyataan rasmi

Iklan
Dr Mohammed Taufiq Johari

KOTA SETAR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menunggu laporan terperinci sebelum mengeluarkan sebarang pendirian atau kenyataan rasmi berhubung krisis yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementerian itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan meneliti setiap perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan atau kenyataan kepada umum.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KBS sentiasa memantau setiap isu yang berbangkit melibatkan persatuan sukan di negara ini, bukan sahaja tertumpu kepada FAM, malah merangkumi semua persatuan sukan di bawah bidang kuasa kementerian.

"Saya perlu menunggu laporan terperinci sebelum mengeluarkan sebarang komen atau pendirian rasmi daripada KBS berhubung isu yang membabitkan FAM, kerana kita mahu setiap kenyataan dibuat berdasarkan fakta serta maklumat yang lengkap.

Iklan

“KBS sentiasa memantau setiap isu berbangkit dalam semua persatuan sukan, bukan hanya FAM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di daerah Kota Setar di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah di sini pada Sabtu.

Iklan

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan bola sepak negara tidak boleh terhenti atau terjejas susulan krisis yang sedang melanda.

Menurutnya, sukan itu merupakan medium penyatuan rakyat serta wadah perpaduan nasional yang amat diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita mahu memastikan bola sepak terus menjadi sukan yang menyatukan rakyat.

"Pembangunannya tidak boleh diganggu gugat, dan KBS akan sentiasa meneliti setiap isu berkaitan dengan penuh tanggungjawab serta dalam batas yang ditetapkan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Exco FAM dikhabarkan bakal meletakan jawatan secara beramai-ramai.

Menurut sumber terdekat, badan induk itu memaklumkan langkah berkenaan bertujuan mengelakkan pengambilalihan penuh oleh jawatankuasa normalisasi yang dilantik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga dilaporkan mencadangkan supaya jawatankuasa eksekutif FAM berundur bagi mengelakkan penggantungan, yang sekiranya berlaku akan menyaksikan persatuan itu ditadbir sementara oleh FIFA dan AFC.