ANKARA - Amerika Syarikat (AS) dan China memulakan pusingan baharu rundingan perdagangan di Madrid pada Ahad, di tengah-tengah desakan Washington supaya sekutu Eropahnya mengenakan tarif terhadap Beijing berhubung pembelian minyak Rusia.
Memetik laporan Anadolu Ajansi (AA), Naib Perdana Menteri China, He Lifeng dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mengetuai delegasi masing-masing dalam rundingan penting tersebut, dengan gencatan tarif ke atas import China dilanjutkan sehingga November depan.
Difahamkan, rundingan akan berlangsung selama empat hari sehingga Rabu.
Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares dilapor bakal menyambut kedua-dua delegasi di Kementerian Luar di Madrid, lokasi rundingan perdagangan baharu itu berlangsung.
"Dasar luar Sepanyol berteraskan dialog dan persetujuan. Berbesar hati atas kepercayaan kedua-dua pihak memilih Madrid," kata Albares menerusi hantaran di X baru-baru ini.
Ia merupakan rundingan kali keempat dalam tempoh empat bulan, bermula beberapa jam selepas kedua-dua delegasi tiba di ibu negara pada Ahad.
Rundingan itu juga satu lagi usaha untuk mengelakkan hubungan dagang AS-China yang sedia tegang terus runtuh akibat perang tarif dicetuskan Presiden AS, Donald Trump.
Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, rundingan merangkumi isu utama keselamatan negara, ekonomi dan perdagangan yang menjadi kepentingan bersama, termasuk TikTok serta kerjasama memerangi rangkaian pengubahan wang haram.
Dikhabarkan, TikTok berdepan larangan menyeluruh di AS atas alasan keselamatan negara.
Kongres AS meluluskan undang-undang dwipartisan pada 2024 yang mewajibkan syarikat TikTok, ByteDance melepaskan operasi di AS atau berdepan larangan menyeluruh berhubung kebimbangan keselamatan negara mengenai potensi perkongsian data dengan Beijing.
Bagaimanapun, menerusi perintah eksekutif pada Jun, Trump melanjutkan tarikh akhir penguatkuasaan terhadap TikTok selama 90 hari sehingga 17 September.
Jurucakap Kementerian Perdagangan China pada minggu lalu turut menggesa AS menangani isu berkenaan melalui dialog berasaskan prinsip saling hormat-menghormati serta menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka, adil, saksama dan tiada diskriminasi bagi syarikat China yang beroperasi di negara berkenaan.
Pada awal Ogos, Trump menandatangani perintah eksekutif yang melanjutkan penggantungan tarif terhadap China selama 90 hari sehingga 10 November.
Namun, tarif timbal balik 10 peratus masih berkuat kuasa sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Dua ekonomi terbesar dunia itu terlibat dalam perang tarif yang dicetuskan Trump sehingga mengganggu pasaran global sebelum masing-masing bersetuju melaksanakan pengurangan bersama secara besar-besaran.
Trump telah mencapai perjanjian bersama United Kingdom, Korea Selatan, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU), selain terus mengadakan rundingan dengan beberapa negara lain.
Rundingan terbaharu antara Beijing dan Washington itu berlangsung ketika harapan meningkat bahawa pemimpin China dan AS dapat bertemu bulan depan di luar sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan.