PDRM, SKMM siasat dalang ugutan video lucah palsu AI libat ahli politik

Iklan
M Kumar

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung empat laporan diterima daripada ahli politik melibatkan kes ugutan penyebaran video lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis sedang menyiasat kes ugutan pemerasan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes pertama dilaporkan oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, selepas beliau menerima emel pada 12 September daripada sumber tidak dikenali yang menuntut bayaran AS$100,000.

"Sekiranya permintaan tidak dipatuhi dalam tempoh tiga hari, satu video palsu berunsur lucah menggunakan wajah beliau (Wong Chen) akan disebarkan di media sosial.

Iklan

"Kes kedua pula melibatkan Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson W Angang yang turut menerima emel pada 12 September daripada sumber tidak dikenali dengan tuntutan jumlah sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, polis juga menerima laporan kes serupa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Wong Chia Zhen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Iklan

Jelasnya, semua laporan itu disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM bekerjasama dengan SKMM bagi mengesan pemilik emel serta memperoleh maklumat berkaitan untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tegas beliau, PDRM memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak yang terbabit dalam menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan, ketenteraman awam serta keharmonian negara," katanya.