Pemangku Perdana Menteri Nepal, Sushila Karki mula bertugas secara rasmi

Iklan
Sushila Karki - Foto: Reuters

ISTANBUL - Sushila Karki secara rasmi memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Nepal pada Ahad, dua hari selepas pelantikannya mengetuai kerajaan sementara, lapor Anadolu Ajansi yang memetik beberapa laporan media tempatan.

Karki, perdana menteri wanita pertama negara itu yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua hakim, mengangkat sumpah pada Jumaat di hadapan Presiden Ramchandra Paudel sebagai respons kepada tuntutan penunjuk perasaan selepas penyingkiran kerajaan dipilih pimpinan KP Sharma Oli.

Iklan
Iklan

Beliau memulakan tugas rasmi di bangunan Kementerian Dalam Negeri di Singha Durbar, selepas pejabat perdana menteri dipindahkan ke sana berikutan bangunan terdahulu dibakar ketika tunjuk perasaan.

Antara keputusan awalnya ialah menyalurkan bantuan kepada mangsa tunjuk perasaan minggu lepas. Ketua Setiausaha Eknarayan Aryal berkata kerajaan mengiktiraf mereka yang terkorban dalam gerakan"Gen Z", dengan setiap keluarga terjejas menerima bantuan kewangan.

Iklan

Aryal berkata hospital turut diarahkan menyediakan rawatan percuma kepada mereka yang cedera.

Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan ramai lagi cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran minggu ini yang tercetus susulan larangan ke atas platform media sosial.

Iklan

Protes itu kemudian berkembang menjadi gerakan lebih luas menentang dakwaan rasuah dan nepotisme dalam kalangan elit politik, dengan penunjuk perasaan menyasarkan kediaman, Mahkamah Agung serta bangunan awam lain.

Presiden Ramchandra Paudel membubarkan parlimen yang mempunyai 275 kerusi pada Jumaat, sejurus selepas menamakan Karki, 73, sebagai perdana menteri sementara. Pembubaran parlimen itu merupakan antara tuntutan utama pemimpin penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, menurut Anadolu, parti-parti utama Nepal mengkritik pembubaran parlimen dan menuntut ia dikembalikan semula.

Dalam kenyataan bersama pada Sabtu, Kongres Nepal, CPN-UML, CPN (Pusat Pengikut Mao), CPN (Sosialis Bersatu), Parti Janata Samajbadi, Parti Loktantrik Samajbadi, Parti Pekerja dan Petani Nepal serta Parti Janamat menuntut keputusan itu dibatalkan segera, dengan alasan ia menjejaskan Perlembagaan serta memperlekeh mandat rakyat.

Parti-parti berkenaan memetik Artikel 76 (7) Perlembagaan dan duluan ditetapkan Mahkamah Agung, dengan hujah bahawa langkah presiden itu melanggar amalan perlembagaan.

"Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan mandat rakyat tetapi turut menggugat keulungan Perlembagaan,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa tuntutan penunjuk perasaan seharusnya ditangani melalui institusi yang dipilih oleh rakyat.

Kerajaan menetapkan 5 Mac 2026 sebagai tarikh pilihan raya. - Bernama