KUALA TERENGGANU – Kerjasama strategik antara Rasuah Busters dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mampu memperkukuh ekosistem integriti negara dengan menyatukan peranan agensi kerajaan, masyarakat sivil dan komuniti akar umbi.
Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, penyertaan gerakan itu dalam program Larian ERAT bersama EAIC bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya manifestasi kesinambungan perjuangan menolak rasuah.
"Rasuah Busters berperanan sebagai gerakan rakyat manakala EAIC merupakan agensi penguatkuasaan. Apabila dua entiti ini bergabung, kita dapat melibatkan kerajaan, pihak korporat, masyarakat sivil serta rakyat.
"Ekosistem ini lengkap kerana setiap pihak memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan negara lebih berintegriti,"katanya ketika ditemui selepas program Larian ERAT yang berlangsung di Dataran Batu Buruk di sini malam Sabtu.
Turut hadir menyempurnakan program itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Dalam perkembangan sama, Hussamuddin berkata, penglibatan golongan muda sebagai peserta terbesar dalam larian itu membuktikan kesedaran mengenai integriti semakin berkembang.
Katanya, selain berlari, peserta turut berpeluang mengikuti sesi pocket talk bersama EAIC dan Rasuah Busters untuk memahami hala tuju serta misi yang dibawa.
"Kita mahu kesinambungan patriotisme bukan hanya pada simbolik mengibarkan bendera sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, tetapi diterjemahkan dalam bentuk nilai murni. Larian ini manifestasi perjalanan ke depan, dan untuk berjaya kita tidak boleh terbeban dengan salah laku atau rasuah.
"Kalau individu sendiri tidak mampu menamatkan larian kerana dibebani salah laku, bagaimana Malaysia mahu mencapai kedudukan 25 negara terbaik dunia dalam 10 tahun akan datang," katanya.
Beliau turut menegaskan, perlakuan rasuah bukan sahaja menjadi liabiliti kepada individu, malah kepada keluarga, komuniti dan negara.
Justeru, katanya, pemberdayaan (empowerment) rakyat perlu dilaksanakan secara berfasa sebagai langkah permulaan kepada kebangkitan menolak budaya rasuah.
"Teras perjuangan Rasuah Busters adalah 'engage, empower and reform' yang menekankan penglibatan, pemberdayaan serta reformasi di semua peringkat termasuk sekolah, universiti, agensi kerajaan dan swasta.
"Reformasi boleh berlaku walau sekecil mana sekalipun. Perubahan mesti bermula dengan diri sendiri sebelum berkembang kepada ekosistem lebih besar.
"Penekanan kami ialah kepada pembinaan karakter kerana perubahan budaya akan memudahkan nilai integriti meresap dalam diri seseorang," katanya.
Program Larian ERAT yang berlangsung di Dataran Batu Buruk di sini melibatkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan usia.