KUALA LUMPUR - Pelajar yang didakwa terbabit dalam kes buli di sebuah sekolah menengah di Sabah digantung sekolah serta-merta.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan segera itu diambil pihak pentadbir sekolah berdasarkan peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
"Selain tindakan penggantungan, murid berkenaan turut dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Raisin menegaskan, Jabatan Pendidikan Sabah memandang serius salah laku buli dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana bentuk kesalahan disiplin seumpamanya.
"Kami komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Sabah sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Sebelum ini, seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di Kinarut, Sabah membuat dua laporan polis selepas dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Dalam laporan itu, mangsa mendakwa ditendang di bahagian perut, ditampar pada pipi serta ditumbuk di hidung oleh seorang pelajar Tingkatan Empat kerana lambat masuk ke bilik asrama.
Pelajar terbabit turut dipaksa menggosok pakaian seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga di sekolah sama.
Ibu mangsa membuat laporan pertama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada Khamis lalu, manakala laporan kedua dibuat di IPD Kota Kinabalu pada Sabtu.