TEMERLOH - Satu rangka manusia dipercayai seorang wanita ditemukan di kawasan parit dan belukar berhampiran Flat Damai Taha, Mentakab.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung penemuan itu kira-kira jam 12 tengah hari, Ahad.
Menurutnya, susulan penemuan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang telah menjalankan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal, rangka itu dipercayai seorang wanita berdasarkan pakaian yang ditemui namun tiada sebarang identiti ditemui.
"Rangka manusia itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHAS), Temerloh bagi tujuan proses bedah siasat yang akan dijalankan pada 10 Februari ini,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis masih menunggu laporan penuh daripada pihak Forensik.
Mohd Nasyim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Razzi Ismail di talian 017-2314245.