Exco Sukan Selangor dakwa jadi sasaran video lucah palsu guna AI

Iklan
Tangkap layar berhubung perkara itu yang dikongsi Mohd Najwan menerusi kenyataan medianya pada Ahad.

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi mendakwa dirinya menjadi mangsa terbaharu penyebaran video lucah palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari turut berdepan dengan ugutan sama.

Iklan
Iklan

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik mendedahkan, ugutan diterima menerusi e-mel daripada pihak tidak dikenali menggunakan AI untuk mencipta video palsu berunsur lucah.

Menurutnya, e-mel yang diterima dua hari lalu turut disertakan dengan tangkap layar video menyerupai wajahnya sebelum beliau diminta membayar wang tebusan berjumlah AS$100,000 (RM445,000) bagi mengelak ia disebarkan.

Iklan

“Ugutan seumpama ini adalah jenayah serius yang jelas bertujuan mengancam keselamatan serta menjatuhkan maruah saya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya siasatan dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI ini selain laporan polis bagi siasatan menyeluruh.

Iklan

Katanya, dalang di sebalik ugutan itu dipercayai menggunakan modus operandi sama yang turut dialami ketiga-ketiga Ahli Parlimen PKR yang dinyatakan tadi.

Justeru, beliau turut menasihatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dengan penipuan siber yang memanipulasi teknologi terkini hingga sanggup mencemarkan maruah individu.

"Penyebaran kandungan palsu dan fitnah bukan sahaja mengaibkan seseorang, malah mengancam keselamatan serta keharmonian masyarakat," tegas beliau.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Rafizi menerima ugutan melalui e-mel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.