Israel tingkat serangan, lebih 6,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal

Iklan
Menara al-Ruya menjadi sasaran terbaharu kempen pengeboman Israel di Bandar Gaza.

GAZA - Tentera Israel meningkatkan serangan ke atas Bandar Gaza dengan memusnahkan bangunan secara sistematik termasuk sekolah yang dijadikan tempat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang.

Memetik laporan Al Jazeera, angka korban di Bandar Gaza itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di seluruh Semenanjung Gaza pada Sabtu kepada 62 orang.

Iklan
Iklan

Jurucakap Pertahanan Awam Palestin, Mahmoud Basal berkata, lebih 6,000 rakyat Palestin di Bandar Gaza turut hilang tempat tinggal akibat pengeboman tanpa henti.

“Penduduk Bandar Gaza kini hidup dalam keadaan yang amat sukar di bawah kepungan dan pengeboman berterusan,” katanya.

Iklan

Menurut saksi, tentera Israel melancarkan serangan bertalu-talu di Bandar Gaza dalam usaha untuk menguasai kawasan pusat bandar dengan menjatuhkan risalah amaran kepada rakyat Palestin supaya melarikan diri demi menyelamatkan nyawa.

Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, yang membuat liputan dari Gaza City berkata, jet pejuang Israel menjatuhkan bom setiap 10 hingga 15 minit ke atas bangunan kediaman dan kemudahan awam.

Iklan

Ujar Hani, tindakan itu menyebabkan penduduk sering tidak mempunyai masa mencukupi untuk berpindah ke kawasan selamat.

“Kadar dan corak serangan ini menunjukkan satu perkara iaitu tentera Israel sengaja memberikan tekanan melampau ke atas kawasan padat dengan keluarga yang kehilangan tempat tinggal,” katanya sambil menambah bahawa rakyat kini kehilangan tempat tinggal di kawasan barat bandar tersebut.

Menurut Hani, walaupun tentera terus membedil bandar itu, ramai penduduk tetap berada di sana atau kembali semula selepas cuba berpindah ke selatan menuju ke kem al-Mawasi yang sesak dan kekurangan sumber.

Kira-kira 900,000 orang masih berada di Gaza City.

Ketua Hospital Al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, berkata penduduk berpindah dari timur ke barat Bandar Gaza, tetapi hanya sebilangan kecil yang berjaya sampai ke selatan.

“Walaupun mereka yang berjaya melarikan diri ke selatan, kebanyakannya tidak menemui tempat tinggal kerana kawasan al-Mawasi sudah penuh manakala Deir el-Balah juga terlalu sesak,” kata Abu Salmiya.

Tentera Israel mendakwa di platform X bahawa lebih 250,000 orang telah melarikan diri dari pusat bandar terbesar di wilayah itu.