Terengganu peruntuk RM1.2 juta bantu 192 pasangan dirikan rumah tangga

Iklan
Norfadilah dan pasangan, Muhammad Adnan diraikan sempena Program Walimatulurus Perdana 2025 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Sabtu.

HULU TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan daripada golongan B40 melangsungkan perkahwinan menerusi Program Walimatulurus Perdana 2025 yang berlangsung serentak di seluruh daerah pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu bukan sahaja meringankan beban kewangan pasangan pengantin, malah memupuk nilai kekeluargaan serta mengukuhkan institusi perkahwinan di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kita bersyukur keran dapat bersama-sama dalam Program Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Hulu Terengganu yang juga diadakan serentak di semua daerah.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru yang secara serentak diijabkabulkan, seramai 192 pasangan seluruh negeri termasuk 20 pasangan di daerah Hulu Terengganu," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Iklan

Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan beliau bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang di sini.

Antara yang diraikan ialah Norfadilah Mohamad, 31, dari Felda Mengkawang, Ajil, yang kehilangan kedua ibu bapanya namun tetap bersyukur apabila diraikan beramai-ramai bersama pengantin lain.

Iklan

Menurutnya, konsep perkahwinan beramai-ramai memberi peluang pasangan sepertinya menjimatkan kos, selain mengeratkan ukhuwah sesama pengantin dan keluarga.

"Walaupun sedih kerana mak ayah tiada bersama, kedukaan itu sedikit terubat bila ALLAH hadirkan ramai ibu bapa lain serta dirai beramai-ramai.

"Syukur juga kerana persiapan hanya memerlukan sekitar RM3,000, tetap meriah dan selepas ini kami akan buat kenduri doa selamat serta tahlil di rumah," katanya.

Norfadilah mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Adnan Ali, 35, seorang pembantu kedai dari Kampung Bukit Gasing, Marang.