Rasuah bukan rezeki, hanya beban dosa - Pensyarah UniSZA

Iklan
Rasuah bukan rezeki tetapi beban dosa yang merosakkan generasi, menutup pintu rahmat ALLAH dan menghilangkan keberkatan hidup.

SHAH ALAM - Amalan rasuah semakin membarah apabila bukan sahaja mencemar sistem pentadbiran negara, malah menjejaskan moral dan menghilangkan keberkatan hidup.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad berkata, dalam masyarakat majoriti Islam, soal rezeki halal sepatutnya menjadi asas utama kehidupan.

Iklan
Iklan

“Malangnya, masih ada yang sanggup menutup mata terhadap hukum agama demi mengejar keuntungan dunia yang sementara kerana apa sahaja hasil daripada rasuah tidak boleh dianggap sebagai rezeki, sebaliknya merupakan beban dosa.

“Rezeki dalam perspektif Islam tidak hanya dilihat pada banyaknya harta atau tingginya jawatan, sebaliknya diukur daripada sumber dan keberkatan yang diperoleh,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Ujarnya, wang hasil rasuah tidak akan pernah membawa ketenangan kerana ia lahir daripada penindasan, penipuan dan kezaliman, malah akan menghancurkan hidup walaupun dari luar tampak mewah.

“Ada yang hidup senang dengan rumah besar, kereta mewah dan kedudukan, hakikatnya kehidupan yang tidak diredai Allah penuh dengan keresahan serta jauh daripada keberkatan,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa hasil daripada rasuah termasuk dalam kategori rezeki haram seperti ditegaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 188 yang melarang umat Islam mengambil harta dengan jalan batil.

“Lebih buruk lagi, hasil rasuah menjadi penghalang kepada doa yang mustajab. Bagaimana mungkin doa seseorang diterima sekiranya makanan, minuman dan pakaiannya datang daripada sumber haram?” katanya.

Beliau menegaskan, peranan ulama dan institusi agama sangat penting untuk memperkukuh pendidikan antirasuah berasaskan nilai Islam sejak di peringkat sekolah rendah, selain menjadikan isu ini tema berterusan dalam khutbah dan kuliah.

“Ulama bukan sahaja perlu menyampaikan fatwa, malah menjadi teladan dengan integriti. Suara mereka lebih berkesan apabila diiringi dengan amalan bersih dan bebas daripada kepentingan duniawi,” ujarnya.

Katanya lagi, masyarakat perlu disedarkan bahawa rasuah bukan rezeki, sebaliknya racun yang merosakkan generasi serta menutup pintu rahmat ALLAH.

“Untuk mengembalikan keberkatan hidup, kita mesti berpegang kepada prinsip rezeki halal walaupun sedikit. Rezeki yang halal membawa ketenangan dan kebahagiaan sebenar, sedangkan rasuah hanya membawa bala dunia dan akhirat,” katanya.